Penunjuk perasaan gesa PM Prayuth letak jawatan; had penggalnya dipertikai

(Gambar: Jack Taylor/AFP)
BANGKOK: Para penunjuk perasaan di Thailand berhimpun di ibu negara Bangkok bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan-Ocha yang sudah mencapai had penggal lapan tahun.
Para penunjuk perasaan menari mengelilingi lilin dan membakar gambar Encik Prayuth di dalam mangkuk bersama dengan barangan seperti garam, batang kemenyan sebagai sebahagian daripada upacara bantahan.
Mercun dinyalakan sebelum para penunjuk perasaan mengangkat tabik hormat tiga jari sebagai simbol bantahan.
Pada Isnin (15 Ogos), Mahkamah Perlembagaan Thailand menerima petisyen daripada Ahli Parlimen Pembangkang yang memohon keputusan sama ada Perdana Menteri sudahpun mencapai had penggal yang membolehkan beliau kekal memegang jawatan.
Yang menjadi isu ialah tarikh yang sepatutnya digunakan dalam menentukan berapa lama beliau telah memegang jawatan.
Encik Prayuth, ketika itu komander tentera, merampas kuasa pada Mei 2014 selepas menggulingkan kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa tentera.
Beliau mengetuai junta yang memerintah dan dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 Ogos 2014 di bawah perlembagaan sementara pasca rampasan kuasa.
Para pengkritiknya dan beberapa pakar undang-undang berpendapat, ini bermakna beliau akan genap lapan tahun memegang jawatan pada Selasa (23 Ogos).
Bagaimanapun, para penyokongnya berkata, perlembagaan semasa negara yang mengandungi peruntukan menghadkan Perdana Menteri kepada lapan tahun berkuat kuasa pada 6 April 2017 dan itu harus digunakan sebagai tarikh permulaan.
Tafsiran yang lebih baik ialah pengiraan detik bermula pada 9 Jun 2019 apabila Encik Prayuth memegang jawatan di bawah perlembagaan baru selepas pilihan raya umum 2019.
Tinjauan menunjukkan populariti perdana menteri itu berada pada tahap rendah. Beliau juga dituduh gagal mengendalikan ekonomi dan tindak balas Thailand terhadap pandemik COVID-19.
Encik Prayuth dan kerajaan gabungannya sebelum ini terselamat daripada empat undi tidak yakin sejak pilihan raya 2019, serta yang terbaru pada bulan lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.