Penumpang pesawat Qantas guna gelongsor kecemasan susuli masalah hidraulik
Para penumpang sebuah pesawat Qantas Airways meninggalkan pesawat menerusi gelongsor kecemasan di lapangan terbang Sydney pada Ahad (15 Dis), setelah ia terpaksa berpatah balik.
(Gambar: EVILHOMER/Twitter)
SYDNEY: Para penumpang sebuah pesawat Qantas Airways meninggalkan pesawat menerusi gelongsor kecemasan di lapangan terbang Sydney pada Ahad (15 Dis), setelah ia terpaksa berpatah balik.
Dalam kenyataannya, Qantas menyatakan bahawa pesawat QF575 ke Perth berpatah balik sejurus setelah berlepas dari Sydney akibat masalah hidraulik.
"Sebaik sahaja pesawat dikemudikan ke pintu gerbang, juruterbang pesawat berkenaan membuat keputusan yang mengarahkan semua penumpang supaya meninggalkan pesawat sebagai langkah berjaga-jaga dan tiga gelongsor kecemasan diaktifkan," menurut kenyataan tersebut.
Qantas menyatakan para jurutera memeriksa pesawat Airbus A330-200 itu yang boleh membawa sehingga 271 penumpang.
Stesen televisyen Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan bahawa kabin pesawat mula dipenuhi asap ketika berada di landasan setelah ia mendarat.
ABC menukil penumpang Dilion Parker sebagai berkata: "Kami berada di landasan sementara menunggu untuk ditunda apabila kami mula terhidu bau sesuatu terbakar."
Seorang jurucakap Qantas memberitahu para wartawan di Sydney bahawa beliau difahamkan terdapat wap di dalam kabin.
"Saya fikir mungkin sebahagian daripada cecair hidraulik dipam masuk oleh sistem hawa dingin, saya belum mendengar tentang sebarang asap," kata jurucakap tersebut semasa sidang media yang disiarkan di televisyen.
"Apa yang kelihatan seperti asap sebenarnya adalah wap dari sistem hidraulik."
Salah seorang penumpang, Ally Kemp, berkata menerusi laman Twitter bahawa ia satu pengalaman yang "menakutkan".
"Saya baru sahaja meninggalkan pesawat ke Perth akibat masalah kejuruteraan. Semua penumpang diarahkan meninggalkan pesawat menerusi gelongsor kecemasan ke landasan (lapangan terbang) Sydney setelah kabin dipenuhi asap dan kapten berteriak supaya meninggalkan pesawat," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.