Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penumpang kirim gambar swafoto pertama & terakhir kepada keluarga sebelum pesawat terhempas

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang kirim gambar swafoto pertama & terakhir kepada keluarga sebelum pesawat terhempas

Cik Norsyahirah menunjukkan gambar swafoto yang dikirimkan arwah abangnya menerusi WhatsApp. (Gambar: BERNAMA)

LUMUT: Seorang penumpang pesawat yang terhempas di sebatang lebuh raya di Selangor dikatakan teruja semasa menaiki pesawat itu, dan bahkan sempat menghantar gambar swafotonya kepada anggota keluarga sebelum tragedi.

Cik Norsyahirah Omar, 29 tahun, berkata arwah abang sulungnya Komander (B) Shaharul Amir Omar, 49 tahun, tidak pernah sekalipun menghantar gambar swafotonya dalam kumpulan sembang WhatsApp keluarga sebelum ini.

"Sebelum ini arwah tidak ada swafoto, dan hanya menghantar gambar tempat dituju dalam WhatsApp keluarga kami, tetapi semasa menaiki pesawat itu dia nampak amat teruja, lain daripada biasa dan memberitahu seronok bos belanja menaiki pesawat.

"Banyak gambar swafotonya yang dihantar semasa dalam pesawat...mungkin dia sudah rasa hendak pergi meninggalkan kami. Kami tidak menyangka itulah kali terakhir ‘bersembang’ dengan dia," kata Cik Norsyahirah ketika ditemui di rumah arwah abangnya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu menambah, mereka sekeluarga terkejut dan bimbang apabila melihat video tular di media sosial petang semalam (17 Ogos).

Arwah gagal dihubungi dan kali terakhir maklumat yang diterima adalah apabila arwah memberitahu ibunya akan bertolak dari Langkawi ke Subang pada pukul 2.00 petang.

ALLAHYARHAM SARA HIDUP KELUARGA SETELAH KEMATIAN BAPA

Cik Norsyahirah yang tinggal di Yan, Kedah berkata beliau segera pulang ke rumah ibu mereka di Kedah sebelum bertolak ke rumah milik arwah yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didiami bersama isteri dan anak-anaknya.
Cik Norsyahirah Omar bercakap kepada media. (Gambar: Abdullah Mohd Yusof/BERNAMA)
Beliau berkata ibunya dan beberapa adik beradik lain kemudian pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pengecaman mayat.

Allahyarham Shaharul disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab dengan menjaga kesemua adik-adiknya dan ibu mereka Che Ana Abdullah, 67 tahun, yang tidak bekerja selepas kematian bapa mereka akibat barah hati pada 2010.

"Selepas kematian ayah, abang banyak menjalankan tanggungjawab terhadap semua keperluan keluarga dan membantu adik-adik yang masih belajar.

"Arwah yang mempunyai empat anak berusia 12 hingga 19 tahun juga seboleh-bolehnya mencari masa untuk pulang dan berkumpul bersama keluarga walaupun sibuk bekerja, tetapi dalam sekelip mata dia sudah tiada, namun kami reda akan pemergiannya," rintih Cik Norsyahirah.

Menurutnya lagi, Allahyarham Shaharul sebelum ini bertugas mengendalikan helikopter untuk membawa Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun, bagi urusan kerja namun ketika kejadian hanya menjadi penumpang pesawat itu.

Buat masa ini pihak keluarga masih menunggu keputusan sama ada jenazah akan dikebumikan di Selangor atau dibawa pulang untuk dikebumikan di Seri Manjung.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan