Skip to main content

Dunia

Penumpang gaduh dalam pesawat AirAsia X, enggan henti berbual meski lampu sudah malap

Satu pergaduhan tercetus dalam pesawat AirAsia X pada Isnin malam (21 Jul) selepas tiga penumpang dikatakan enggan merendahkan suara mereka walaupun lampu kabin sudah dimalapkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang gaduh dalam pesawat AirAsia X, enggan henti berbual meski lampu sudah malap

Seorang wanita dilihat menarik tali yang digantungkan dileher seorang penumpang lelaki ketika pergaduhan tercetus dalam pesawat AirAsia X, penerbangan D7326, pada 21 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Seen & Real)

Diterbitkan : 23 Jul 2025 11:22PM
SINGAPURA: Satu pergaduhan tercetus dalam pesawat AirAsia X pada Isnin malam (21 Jul) selepas tiga penumpang dikatakan enggan merendahkan suara mereka walaupun lampu kabin sudah dimalapkan.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp, AirAsia mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku dalam penerbangan bernombor D7326 yang melakukan perjalanan ke Chengdu, China dari Kuala Lumpur.

Seorang lelaki yang duduk di belakang sekumpulan wanita yang sedang berbual dilaporkan meminta mereka untuk merendahkan suara agar beliau dapat berehat. Kejadian itu berlaku sejurus selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menurut laporan New York Post dan portal berita tempatan Malaysia, Malay Mail.

Ketiga-tiga wanita itu dikatakan enggan memenuhi permintaan tersebut dan terus berbual, mencetuskan pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Penumpang lelaki itu dikatakan memanggil kumpulan wanita tersebut sebagai “bodoh”, menyuruh mereka “diam” dan berkata, “saya mahu tidur”.

Seorang penumpang lain memberitahu New York Post bahawa tiga wanita itu “berbual terlalu kuat”, namun turut menyatakan bahawa nada suara lelaki berkenaan juga “agak agresif”.

Kejadian itu tular di media sosial, dengan rakaman video menunjukkan seorang wanita menarik tali yang digantung dileher (lanyard) yang dipakai oleh lelaki tersebut, dengan jeritan kedengaran di latar belakang.

Kakitangan kabin kemudian campur tangan untuk memisahkan wanita itu dan seorang lagi wanita yang memakai baju hijau dan topi besbol daripada lelaki tersebut.

Dalam satu lagi video yang dimuat naik online, wanita berbaju hijau itu dilihat menyandar ke arah tempat duduk hadapan sebelum menumbuk lelaki yang cuba melindungi dirinya di belakang meja dulang, sementara penumpang lain menjerit “duduk”.

Dalam satu lagi video yang dimuat naik online, wanita berbaju hijau itu dilihat menyandar ke arah tempat duduk hadapan sebelum menumbuk lelaki berkenaan beberapa kali, sementara dia cuba untuk melindungi dirinya di belakang meja dulang, sambil menjerit “duduk”.

AirAsia X memberitahu Mediacorp bahawa kakitangan kabin “bertindak dengan pantas dan profesional untuk mengawal keadaan selaras dengan protokol keselamatan yang ditetapkan”.

“Pihak berkuasa (tempatan) telah dimaklumkan dan mereka bertemu dengan pesawat itu sejurus ia mendarat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” tambah kenyataan itu. “Kejadian ini tidak menjejaskan jadual penerbangan pulang atau mengganggu operasi.”

Akhbar South China Morning Post melaporkan pada Rabu bahawa lima penumpang warga China terlibat dalam kejadian itu, dengan polis lapangan terbang memberkas tiga daripada mereka dan mengenakan denda terhadap dua yang lain.

Berhubung tingkah laku penumpang yang tidak berdisiplin, AirAsia X mengingatkan semua pelanggan agar sentiasa menjaga adab sepanjang perjalanan mereka.

“Syarikat penerbangan ini mengekalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan keselesaan, keselamatan atau pengalaman penumpang lain di dalam pesawat.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita