Skip to main content

Dunia

Penumpang diserang angin ahmar di atas kapal pesiaran dari Pulau Pinang ke SG, dikejarkan ke hospital Port Dickson

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang diserang angin ahmar di atas kapal pesiaran dari Pulau Pinang ke SG, dikejarkan ke hospital Port Dickson

Gambar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

SINGAPURA: Seorang penumpang wanita berusia 66 tahun yang diserang angin ahmar ketika berada di dalam kapal pesiaran yang sedang melakukan perjalanan dari Pulau Pinang ke Singapura, dipindahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) pada petang Rabu (26 Apr).

Seorang pegawai MMEA memberitahu Mediacorp pada Khamis (27 Apr) bahawa ia sudah mengerahkan sebuah kapal pantas yang sedang melakukan rondaan dengan enam anak kapal ke kapal pesiaran tersebut, iaitu kira-kira 3.8 batu nautika barat daya Port Dickson.

Penumpang tersebut, yang merupakan seorang warga Indonesia, dibawa menaiki kapal pantas ke sebuah jeti di Port Dickson, kata Leftenan Maritim Mohd Hafiz Ahmad. Penumpang tersebut tiba di jeti berkenaan sekitar pukul 10.00 malam lalu dikerjarkan ke Hospital Port Dickson.

Leftenan Hafiz, pegawai operasi di MMEA Melaka dan Negeri Sembilan, menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keadaan penumpang tersebut sejauh ini.

Sementara itu, Mediacorp sudah menghubungi Royal Caribbean, yang mengendalikan kapal pesiaran yang terlibat itu, untuk mengulas mengenai hal tersebut.

Kapal pesiaran tersebut menghantar isyarat meminta bantuan dengan butiran mengenai kecemasan perubatan tersebut kepada Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) di Putrajaya. MRCC kemudian menyampaikan permintaan tersebut kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) di Johor Bahru.

Leftenan Hafiz mendedahkan bahawa pejabatnya menerima permintaan tersebut daripada MRSC Johor Bahru kira-kira pukul 5.00 petang pada Rabu untuk memindahkan seorang penumpang daripada sebuah kapal pesiaran.

"Kami hanya dapat melaksanakan operasi tersebut pada lewat malam kerana penumpang tersebut sepatutnya dipindahkan ke Port Dickson, tetapi kapal pesiaran tersebut sebaliknya sudah melepasi Port Dickson dan sedang berada berhampiran dengan Melaka. Lantaran itu, ia perlu berpatah balik," lapornya.

"Bot kami kecil, oleh itu kami tidak dapat membawa pesakit tersebut dalam jarak jauh."

Pasukan Leftenan Hafiz berhubungan dengan kapten kapal pesiaran untuk menentukan koordinat tempat bertemu.

"Pesakit tersebut diiringi seorang lelaki, yang mungkin merupakan anak kapal atau seseorang yang mempunyai latar belakang perubatan," tambah beliau, sambil menambah bahawa pesakit tersebut sudah bersedia untuk diusung keluar ketika itu.

"Pegawai MMEA membawa pesakit ke kapal pantas tersebut lalu berangkat ke jeti Jabatan Marin di Port Dickson."

Kapal pesiaran tersebut kemudian meneruskan perjalanannya ke Singapura, tambah Leftenan Hafiz.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita