Skip to main content

Dunia

Penumpang cedera setelah pemberontak Myanmar tembak pesawat

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang cedera setelah pemberontak Myanmar tembak pesawat

Bendera kebangsaan Myanmar. (Gambar: iStock/ugurhan)

YANGON: Seorang penumpang dalam pesawat domestik Myanmar ditembak pada bahagian mukanya hari ini (30 Sep) apabila para pemberontak melepaskan tembakan di dalam pesawat tersebut sedang ia mendarat, menurut junta tentera.

Sebutir peluru menembusi bahagian badan pesawat syarikat penerbangan negara Myanmar sedang ia mendarat, membawa 63 penumpang ke Loikaw, ibu kota wilayah timur Kayah.

Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintah Cik Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu, sehingga ribuan nyawa terkorban disebabkan tindakan keras terhadap mereka yang membantah junta.

Pemberontak yang menentang rampasan kuasa itu muncul di seluruh negara untuk menentang junta dan bersekutu dengan kumpulan-kumpulan militia etnik tempatan di beberapa kawasan.

Pesawat tersebut berlepas dari kota Naypyidaw pada pada pagi Jumaat (30 Sep), diserang pada ketinggian 1,000 meter, sekitar enam kilometer dari lapangan terbang Loikaw, kata pihak junta dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut menyalahkan anggota dari kumpulan antijunta dan Parti Progresif Nasional Karenni, sebuah tentera pemberontak etnik, atas kejadian tembakan tersebut.

"Seorang penumpang cedera pada bahagian kanan pipinya disebabkan tembakan itu," jelas kenyataan tersebut.

"Penumpang yang cedera itu sedang diberi rawatan di Hospital Rakyat Loikaw dan pasukan keselamatan sedang menjalankan prosedur keselamatan di kawasan serangan berlaku."

Lebih 2,300 nyawa terkorban dan 15,000 diberkas sejak berlakunya rampasan kuasa, akibat tindakan keras terhadap mereka yang membantah.

Angka kematian terkini yang dikeluarkan junta berjumlah 3,900 orang.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita