Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penulis Oman menang anugerah sastera Man Booker

Jokha Alharthi pada Selasa (21 Mei) menjadi penulis Arab pertama untuk memanangi Hadiah Antarabangsa Man Booker bagi novel "Celestial Bodies" yang mendedahkan perubahan yang dialami kampung halamannya di Oman pasca penjajahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penulis Oman menang anugerah sastera Man Booker

Pemenang Hadiah Antarabangsa Man Booker, Jokha Alharthi (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 22 May 2019 03:39PM Dikemas Kini : 22 May 2019 03:43PM

LONDON: Jokha Alharthi pada Selasa (21 Mei) menjadi penulis Arab pertama untuk memanangi Hadiah Antarabangsa Man Booker bagi novel "Celestial Bodies" yang mendedahkan perubahan yang dialami kampung halamannya di Oman pasca penjajahan.

"Saya amat berbesar hati kini satu jendela dibuka kepada budaya Arab," kata Cik Alharthi, 40 tahun, kepada para wartawan selepas majlis penyampaian di Roundhouse, London.

Cik Alharthi sebelum ini menulis dua antologi cerpen, senaskah buku kanak-kanak dan tiga novel dalam bahasa Arab.

Beliau mempelajari puisi lama Arab di Edinburgh University dan mengajar di Universiti Sultan Qaboos di Muscat.

"Oman memberi saya ilham namun saya rasa pembaca antarabangsa dapat menghargai nilai-nilai insani dalam buku ini - kebebasan dan cinta," kata beliau.

Anugerah berprestij bernilai £50,000 (( )) yang mengiktiraf karya fiksyen diterjemah dari seantero dunia, dibahagi sama rata antara penulis dan penterjemah.

Penterjemah bagi karya Cik Alharthi ialah ahli akademik Amerika Syarikat Marilyn Booth, yang mengajar sastera Arab di Universiti Oxford.

Celestial Bodies berlatarkan kampung al-Awafi di Oman dan berkisarkan kehidupan tiga beradik: Mayya, yang berkahwin dengan Abdallah selepas patah hati; Asma, yang berkahwin atas sebab rasa tanggungjawab; dan Khawla, yang sedang menantikan kepulangan kekasihnya dari Kanada.

Ketiga-tiga adik beradik menyaksikan evolusi Oman daripada satu masyarakat tradisional yang memiliki hamba abdi.

Menurut ulasan The Guardian, buku itu menawarkan "imbasan budaya yang kurang dikenali oleh barat" manakala The National menyatakan karya tersebut menandakan "kemunculan satu bakat besar kesusasteraan", dan menyifatkan buku itu sebagai "satu kuasa sangat padat dan menggapai imaginasi mendalam".

Ketua juri Bettany Hughes berkata novel tersebut menunjukkan "kesenian halus dan (pada masa yang sama) aspek menggusarkan dalam sejarah bersama kita".

Cik Alharthi dianugerahkan pengiktirafan itu selepas mengalahkan lima lagi penulis yang disenarai pendek: Annie Ernaux dari Perancis, Marion Poschmann dari Jerman, Olga Tokarczuk dari Poland, Juan Gabriel Vasquez dari Colombia dan Alia Trabucco Zeran dari Chile.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan