Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penularan FMD di Indonesia jejas ternakan, rantaian bekalan makanan

 
Pihak berkuasa di Jakarta dituduh cuai kerana membenarkan virus itu merebak buat pertama kali sejak dekad 80-an.

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Indonesia sedang bergelut dengan penularan penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menjejas ternakan serta mengganggu rantaian bekalan makanannya.
 
Pihak berkuasa di Jakarta dituduh cuai kerana membenarkan virus itu merebak buat pertama kali sejak dekad 80-an.

Menjelang sambutan Aidiladha, para pedagang ternakan kini terpukul dengan krisis yang berlaku.
 
Langkah membasmikan kuman di kandang lembu sudah menjadi lumrah harian di kemudahan perniagaan daging, Dharma Jaya, milik pemerintah daerah Jakarta.

"Sekarang ini, semua pemotongan itu harus selesai dalam satu waktu. Jadi tidak boleh ada lembu yang bermalam di sini, contohnya begitu. Lalu kandang juga kita mensterilkannya terus setiap hari untuk mencegah hal-hal yang tidak diinginkan," kata Presiden Dharma Jaya, Raditya Endra Budiman.

"Kesan ke atas haiwan korban tentunya kita akan lebih selektif di sini. Jadi Dharma Jaya menjual juga lembu-lembu korban tetapi lembu-lembu itu sekarang kita letakkan di tempat-tempat khusus yang memang tidak tercemar," tambahnya. 

Namun, pedagang seperti Haji Doni - yang mempunyai 30 tahun pengalaman membekalkan haiwan korban - kini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan yang tetap dan sihat.

"Tidak mudah untuk mendapatkan lembu yang sihat kerana ini kesannya amat cepat sekali. Apabila lembu itu dijangkiti, itu tempoh cuma satu minggu atau empat hari begitu, sudah kelihatan begitu. 12 jam sekali doktor kita bergiliran untuk memeriksa," kata Haji Doni, pemilik Pusat Ternakan Korban H. Doni.

Indonesia diisytiharkan bebas dari FMD pada 1986. Namun sekitar penghujung April lalu, pihak berkuasa menemui contoh penyakit itu di Jawa Timur.
 
Jumlah kes terus melonjak - menurut data pemerintah, terdapat lebih 200,000 kes aktif yang dikesan di 21 daripada 34 wilayah setakat 1 Julai.
 
Ini memacu keprihatinan dalam kalangan penduduk yang ingin membeli haiwan menjelang Hari Raya  Aidiladha.
 
"Ada sijil, lembu ini ada sijil pengesahan bahawa ini sihat. Itu yang penting buat kita kerana kita orang awam, tidak tahu lembu berpenyakit atau tidak," kata Gatot Satriadi, seorang penduduk di Jakarta. 

Pihak berkuasa memberi jaminan, bekalan mencukupi bagi sambutan Aidiladha serta ia  sudahpun melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung penularan FMD. 

Antaranya, pedagang perlu memastikan haiwan kekal sihat dan tidak menunjukkan gejala FMD, haiwan harus datang dari daerah yang tidak terkait dengan kelompok FMD dengan jarak selamat tidak kurang dari 10 kilometer serta tiada kes FMD dilaporkan di daerah tersebut dalam tempoh sebulan sebelum haiwan dipindahkan.
 
"Ini cabaran yang amat berat kerana untuk membawa masuk lembu itu, dokumennya, surat-suratnya itu harus lengkap sekali. Harus ada surat rekomendasi antara wilayah, apalagi yang antara pulau. Kemudian, sijil dan surat haiwannya. Kalau dulu cuma SKKH saja iaitu surat keterangan kesihatan haiwan.  Sekarang ini harus ada sijil, surat vaksin," ujar Haji Doni. 

Ternakan yang diangkut juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu.

Tempoh kuarantin yang dikenakan membantu usaha mengekang penularan serta memisahkan lembu yang sihat daripada yang berpenyakit.  

Menurut para pakar, lebih banyak usaha perlu dilakukan.

"Tempoh 14 hari kuarantin itu pada umumnya disasarkan hanya pada gejala klinikal. Jadi kalau ada lembu dikuarantin tanpa gejala klinikal, itu tidak bererti bebas dari penyakit tertentu," terang Profesor R. Wasito dari Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Gadjah Mada. 

Pihak berkuasa juga sudah melancarkan program vaksinasi haiwan di seluruh negara. Sebanyak tiga juta dos vaksin sudahpun diimport dan sekitar 800,000 suntikan diagihkan. 

Walaupun pemerintah Indonesia sudah membentuk sebuah pasukan bertindak bagi menangani isu FMD, mempercepat program vaksinasi masih menjadi keutamaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan