Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penularan cacar monyet cecah 50,000 kes di seluruh dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Penularan cacar monyet cecah 50,000 kes di seluruh dunia

(Gambar: AFP/Francois Lo Presti)

GENEVA: Lebih 50,000 kes cacar monyet dicatatkan di seluruh dunia setakat ini, menurut perangkaan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada Rabu (31 Ogos) meskipun penularan virus itu kini semakin perlahan di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

WHO menyenaraikan 50,496 jangkitan dan 16 kematian tahun ini, yang mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai kecemasan kesihatan awam global pada Julai lalu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata jumlah jangkitan baru yang berkurangan ketika ini membuktikan bahawa penularan tersebut mampu dihentikan.

"Di benua Amerika yang menyumbang lebih daripada separuh kes yang dilaporkan, beberapa negara terus mencatat peningkatan kes jangkitan. Namun, agak memberangsangkan untuk melihat berlaku trend penurunan yang berterusan di Kanada," katanya pada satu sidang media.

"Sesetengah negara Eropah, termasuk Jerman dan Belanda turut menyaksikan penularan yang jelas semakin perlahan, sekali gus menunjukkan keberkesanan langkah intervensi kesihatan awam serta pembabitan masyarakat untuk mengesan jangkitan dan mencegah penularannya.

"Semua tanda itu mengesahkan apa yang kami telah nyatakan secara konsisten dari mula lagi: bahawa dengan langkah yang betul, penularan ini boleh dihentikan,".

Penularan cacar monyet dilaporkan melonjak sejak awal Mei lalu dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis, di luar negara Afrika yang telah sekian lama endemik penyakit itu.

WHO mengeluarkan amaran tahap tertinggi pada 24 Julai lalu dengan mengklasifikasikan penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa, sebagaimana COVID-19.

"Menghapuskan cacar monyet memerlukan tiga perkara: bukti bahawa ia boleh berlaku yang mana kita sedang mula melihatnya kini; kemahuan dan komitmen politik; serta pelaksanaan langkah kesihatan awam dalam masyarakat yang paling memerlukannya.

"Kita tidak perlu hidup dengan cacar monyet," kata Encik Tedros.

Hingga kini, kes cacar monyet telah dilaporkan di 101 wilayah, namun hanya 52 wilayah melaporkan jangkitan baru dalam tempoh tujuh hari lalu dengan 27 daripadanya mencatat angka satu digit.

Negara yang melaporkan jumlah lebih 1,000 kes cacar monyet kepada WHO ialah AS (17,994), Sepanyol (6,543), Brazil (4,693), Perancis (3,547), Jerman (3,467), Britain (3,413), Peru (1,463), Kanada (1,228) dan Belanda (1,160).

Begitupun, angka jangkitan baru di AS menunjukkan sedikit penurunan sejak kebelakangan ini, berdasarkan data pihak berkuasa.

Dari segi korban cacar monyet pula, Nigeria melaporkan empat kematian kepada WHO; Ghana, tiga kes kematian, Sepanyol dan Republik Afrika Tengah masing-masing dua; manakala Brazil, Belgium, Ecuador, India serta Cuba masing-masing satu kes.

Ketua teknikal WHO bagi cacar monyet, Rosamund Lewis, berkata sebarang kontak fizikal dengan seseorang yang menghidap penyakit itu, akan memberikan risiko jangkitan.

"Setakat ini, majoriti yang dijangkiti membabitkan lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis sama ada golongan homoseksual mahupun biseksual, atau mereka yang mempunyai kontak dengan lelaki lain yang menghidap cacar monyet," katanya pada sidang media, pada Rabu

Cik Lewis menjelaskan hingga kini, tiada sebarang laporan berhubung jangkitan cacar monyet melalui pemindahan darah.

"Sudah pasti ada laporan bahawa DNA virus cacar monyet dikesan dalam air mani. Satu kajian menunjukkan virus itu boleh diasingkan daripada spesimen berkenaan," katanya sambil memaklumkan bahawa kajian lain masih dijalankan.
Sumber : Agensi berita/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan