Skip to main content

Dunia

Penternak M'sia gesa kerajaan tarik balik larangan eksport ayam ke S'pura sebelum terlambat

Anggaran Waktu Membaca:
Penternak M'sia gesa kerajaan tarik balik larangan eksport ayam ke S'pura sebelum terlambat

Ayam di ladang di Temerloh Malaysia. (Gambar: AFP/Mohd RASFAN)

Diterbitkan : 05 Jul 2022 10:47PM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 11:46PM
KUALA LUMPUR: Pemain industri ayam itik Malaysia menggesa kerajaan negara itu supaya menarik balik larangan eksport ayam atau mereka akan kehilangan pasaran Singapura.

Mereka juga menekankan bahawa bekalan domestik sudah kembali stabil.

Penasihat Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Jeffry Ng, berkata mereka sedang berunding dengan kerajaan tentang langkah menamatkan larangan eksport, yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menurutnya ramai penternak sedang menggesa persatuan itu untuk buat sesuatu kerana mereka mempunyai kontrak dengan pelanggan Singapura, yang sudah mereka jalin hubungan perniagaan sekian lama.

"Kita harus terus menyediakan khidmat. Itulah pasaran kita sejak sekian lama," kata beliau kepada Mediacorp.

"Sebahagian penternak hanya memenuhi pasaran eksport dan bukan pasaran tempatan. Jika mereka tidak boleh eksport, maka operasi mereka terpaksa berubah," tambah beliau.

Larangan eksport sehingga 3.6 juta ayam sebulan itu diperkenalkan menyusuli masalah bekalan dan harga di Malaysia, dengan sebahagian pedagang yang menjual ayam seekor pada harga melebihi harga siling untuk menampung kos mereka.

Kenaikan kos penghasilan, jangkitan penyakit dan keadaan cuaca antara faktor yang menjejas operasi ladang ayam.

Dalam respons kepada larangan eksport itu, Singapura, yang mengimport sekitar sepertiga bekalan ayam dari Malaysia, mengumumkan ia akan membeli ayam dari Indonesia.

Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan pada 30 Jun bahawa Indonesia sudah dimasukkan ke dalam senarai sebagai sumber baru bagi import ayam, menyertai lebih 20 negara yang ditauliah untuk mengeksport ayam ke Singapura.

Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Johor Lau Ka Leng memberitahu Mediacorp bahawa penternak bimbang kehilangan pelanggan Singapura sekiranya larangan import itu tidak ditarik balik tepat pada masanya.

"Kebanyakanyan ayam yang dieksport ke Singapura adalah dari ladang di Johor," tambah beliau.

Beliau berkata meskipun para penternak boleh menangani keadaan sekarang, terdapat kebimbangan bahawa mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam pasaran Singapura sebaik sahaja pasaran Indonesia bermula.

"Sebaik sahaja anda kehilangan satu pasaran, bukan mudah untuk mendapatkannya balik," kata beliau, sambil menambah terdapat sekitar 700 ladang ayam di negeri itu.

BEKALAN AYAM SUDAH STABIL, KATA PENTERNAK

Encik Lau berkata bekalan ayam di Johor sudah kembali normal dan beliau berharap larangan eksport itu akan ditarik balik tidak lama lagi.

Beliau menambah Malaysia 114 peratus mampu bergantung kepada negara sendiri dari segi penternakan ayam.

Kurangnya bekalan beberapa bulan lalu disebabkan permintaan tinggi, kata Encik Ng dari FLFAM.

"Setelah hampir dua tahun perintah berkurung, semua orang adakan kenduri, majlis perkahwinan dan rumah terbuka hampir serentak. Kami tidak pernah menyaksikan permintaan sedemikian sebelum ini. Ia bukannya isu bekalan," kata beliau.

Jika larangan itu tidak ditarik balik, terdapat lebihan bekalan ayam dalam pasaran, tambah beliau.

Encik Ng berkata semasa perbincangan persekutuan itu berhubung langkah menamatkan larangan import, kerajaan Malaysia meminta penternak memastikan cukup bekalan domestik.

"Kami sedang berunding dengan kerajaan. Mereka meminta rancangan kami. Masalahnya sekarang adalah sama ada kami boleh mengekalkan bekalan dan dalam masa yang sama melakukan eksport.

"Kerajaan meminta kami memastikan bekalan mencukupi. Kami sedang berusaha memastikan prosesnya," kata beliau.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita