Pentagon "siap siaga bertindak balas" jika ada provokasi Korea Utara
Pentagon bersedia untuk memberikan respons terhadap sebarang "tindakan provokatif" dari Korea Utara.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: AP Photo/Evan Vucci)
WASHINGTON: Pentagon bersedia untuk memberikan respons terhadap sebarang "tindakan provokatif" dari Korea Utara.
Demikian menurut seorang pegawai semalam (24 Mei) setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membatalkan sidang puncak dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
"Kami sudah bersiap siaga, kami bersedia untuk memberikan respons,"Leftenan Jeneral Kenneth McKenzie, pengarah Turus Tentera Amerika memberitahu para wartawan.
"Kami akan melihat perkembangan dalam masa beberapa hari mendatang. Sekiranya berlaku sebarang tindakan provokatif dari (Korea Utara) kami pasti, bersama-sama sekutu dan rakan-rakan negara di rantau ini, bersedia untuk (memberikan respons)."
Setiausaha Pertahanan Jim Mattis berbincang dengan Encik Trump menerusi panggilan telefon awal hari ini. Namun para pegawai enggan mendedahkan sama ada beliau terlibat dalam proses membuat keputusan untuk membatalkan sidang puncak itu atau sekadar mengetahui perkembangannya.
Seorang jurucakap Pentagon, Dana White berkata Pentagon adalah sebahagian daripada kempen Amerika Syarikat untuk memberikan "tekanan maksimum" terhadap Korea Utara. Ini termasuk sekatan yang diperketat, langkah-langkah diplomatik dan kesediaan tentera.
"Kami bersedia untuk memberikan tindak balas malam ini. Itulah pendirian kami," kata beliau dalam satu taklimat yang diadakan bersama dengan Encik McKenzie.
Encik McKenzie menambah Pentagon mengekalkan tahap berjaga-jaga "peringkat tinggi" terhadap Korea Utara.
"Kami akan meneruskannya pada masa akan datang untuk melibatkan kegiatan-kegiatan pertahanan peluru berpandu kami," kata beliau.
Dalam utusan surat kepada Encik Kim, Encik Trump mengumumkan beliau tidak akan meneruskan pertemuan peringkat tinggi yang dijadual diadakan di Singapura pada 12 Jun.
Surat itu menyatakan tentang keupayaan nuklear yang "besar dan sangat hebat" Amerika Syarikat. Ini sekaligus menunjukkan kembalinya retorik permusuhan yang ditonjolkan Encik Trump sebelum beliau pertama kali mengumumkan tentang sidang puncak tersebut.
Ketegangan dengan Korea Utara memuncak pada tahun lalu setelah Encik Kim melancarkan ujian peluru berpandu balistik rentas benua yang mampu sampai ke Amerika Syarikat dan mengadakan ujian nuklear keenam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.