Skip to main content

Dunia

Pentagon pertahan langkah kerah tentera ke Los Angeles

Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth pada Selasa (10 Jun) mempertahankan operasi pengerahan Pengawal Negara dan pasukan askar marin yang bernilai AS$134 juta (S$172.4 juta) ke Los Angeles.

Anggaran Waktu Membaca:
Pentagon pertahan langkah kerah tentera ke Los Angeles

Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth memberi keterangan di Capitol Hill, Washington, pada 10 Jun 2025. (Gambar: AP/Jose Luis Magana)

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth pada Selasa (10 Jun) mempertahankan operasi pengerahan Pengawal Negara dan pasukan askar marin yang bernilai AS$134 juta (S$172.4 juta) ke Los Angeles.

Encik Hegseth berkata mereka akan bantu melindungi para pegawai Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), di mana tindakan mereka menahan individu didakwa pesalah imigresen telah mencetuskan bantahan selama beberapa hari.

"Kami percaya ejen-ejen ICE harus dibenarkan menjalankan operasi mereka dengan selamat, dan kami telah mengerahkan pasukan Pengawal Negara dan pasukan askar marin untuk melindungi mereka ketika mereka menjalankan tugas," kata Encik Hegseth semasa perbicaraan di Kongres.

"Kerana kami seharusnya dapat menguatkuasakan undang-undang imigresen di negara ini."

Sekitar 700 askar Marin sudah pun tiba di kawasan Los Angeles atas arahan Presiden Donald Trump, yang turut mengerahkan 4,000 Pengawal Negara untuk mengawal bantahan walaupun ia ditentang oleh Gabenor California Gavin Newsom dan beberapa pemimpin tempatan yang lain.

Bryn MacDonnell, yang menjalankan tugas sebagai pengawas di Pentagon, memberitahu para penggubal undang-undang bahawa seluruh kos pengerahan askar-askar dan pegawai itu adalah kira-kira AS$134 juta (S$172.4 juta) dan ini termasuk kos perjalanan, perumahan dan makanan untuk askar-askar.

Para penggubal undang-undang dari parti Democrat memohon jawapan dari Encik Hegseth mengenai pengerahan itu dan juga menimbulkan keprihatinan terhadap langkah mengerahkan askar-askar Amerika yang bertugas aktif ke misi yang menurut mereka, dapat dilaksanakan lebih baik oleh para pegawai penguatkuasaan undang-undang.

"Ini adalah situasi yang sangat tidak adil bagi askar Marin kita. Khidmat mereka sepatutnya dihormati dan tidak diekspoit," kata Wakil Betty McColllum, seorang anggota parti Democrat dari Minnesota, di jawatankuasa kecil Peruntukan Dewan.
Sumber : Reuters/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita