Skip to main content

Dunia

Pentadbiran Trump pertimbang guna tentera tangani kartel dadah

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, boleh menggunakan tenteranya untuk memerangi sindiket dadah Amerika Latin yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas global, dan sudah mengarahkan Pentagon untuk menyediakan langkah-langkah yang boleh diambil, menurut pegawai Amerika Syarikat pada Jumaat (8 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pentadbiran Trump pertimbang guna tentera tangani kartel dadah

Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara, Marco Rubio, di Pejabat Bundar, Rumah Putih, Washington, pada 16 Julai 2025. (Gambar: AP/Alex Brandon)

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, boleh menggunakan tenteranya untuk memerangi sindiket dadah Amerika Latin yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas global, dan sudah mengarahkan Pentagon untuk menyediakan langkah-langkah yang boleh diambil, menurut pegawai Amerika Syarikat pada Jumaat (8 Ogos).

Pada Februari lalu, pentadbiran Trump mengisytiharkan Kartel Sinaloa Mexico, kumpulan samseng dadah lain, serta kumpulan jenayah Venezuela, Tren de Aragua, sebagai pertubuhan pengganas global. Ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Amerika Syarikat untuk meningkatkan penguatkuasaan imigresen terhadap individu yang dipercayai ahli kumpulan jenayah.

“Ia membolehkan kami menyasarkan operasi mereka dan menggunakan bidang kuasa Amerika yang lain, agensi perisikan, Jabatan Pertahanan, apa sahaja... untuk menyasarkan kumpulan ini jika kami berpeluang melakukannya,” kata Encik Rubio.

“Kita perlu mula memperlakukan mereka sebagai pertubuhan pengganas bersenjata, bukan sekadar kumpulan pengedar dadah.”

OPERASI YANG MUNGKIN DIJALANKAN

The New York Times melaporkan pada Jumaat bahawa Encik Trump secara rahsia sudah menandatangani arahan untuk mula menggunakan tentera dalam memerangi kumpulan tersebut.

Seorang pegawai Amerika Syarikat yang enggan dikenal pasti mengesahkan langkah itu, tetapi berkata tindakan ketenteraan tidak dijangka diambil dalam masa terdekat. Jenis operasi yang mungkin dijalankan juga belum jelas.

Seorang lagi pegawai berkata arahan tersebut membolehkan Tentera Laut Amerika Syarikat mengambil tindakan di laut, termasuk misi memintas penyeludupan dadah, dan juga mungkin meliputi serbuan tentera.

Tentera Amerika sudah pun meningkatkan pemantauan dari udara terhadap kartel dadah Mexico untuk mengumpul maklumat risik berhubung kegiatan mereka.

MAKLUM BALAS MEXICO

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, berkata pada Jumaat bahawa pasukan Amerika Syarikat tidak akan memasuki wilayah Mexico.

Beliau berkata pemerintahnya sudah dimaklumkan tentang satu arahan yang akan dikeluarkan tetapi ia tiada kaitan dengan kegiatan tentera Amerika di tanah Mexico.

Sebarang langkah untuk menggunakan tentera Amerika untuk memerangi kartel-kartel berpotensi menimbulkan persoalan undang-undang.

Brian Finucane daripada International Crisis Group berkata bahawa tindakan ketenteraan di Mexico “sukar untuk disesuaikan dengan undang-undang domestik atau antarabangsa”.

“Walaupun tindakan ketenteraan Amerika di Mexico hampir pasti tidak sah dari segi undang-undang, dari segi praktikalnya, ia mungkin tidak menjadi halangan yang berkesan,” kata Encik Finucane menyusuli pengisytiharan pada Februari lalu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita