Pentadbiran Trump hentikan sementara janji temu visa bagi pemohon seluruh dunia
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengarahkan supaya janji temu visa bagi pemohon dari seluruh dunia dihentikan buat sementara waktu, sedang pemerintah Amerika meneruskan tindakan keras imigresennya dalam penggal kedua pemimpin Republican tersebut di Rumah Putih.
Seorang wanita mendukung seorang kanak-kanak sambil menunggu untuk mengisi borang permohonan visa Amerika Syarikat di sebuah firma perunding di Kathmandu, Nepal, pada 28 November 2025. (Gambar fail: REUTERS/Navesh Chitrakar)
- Pentadbiran Presiden Donald Trump mengarahkan penangguhan sementara janji temu visa di semua kedutaan dan konsulat Amerika di seluruh dunia bermula 25 Ogos.
- Langkah ini bertujuan memberi ruang kepada latihan global pegawai konsular untuk memperketat penilaian pemohon visa, khususnya yang berisiko bergantung pada bantuan awam.
- Tindakan keras imigresen Trump, termasuk pembatalan visa dan kad hijau, menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana dianggap diskriminasi dan menjejaskan hak asasi.
- Beberapa dasar imigresen pentadbiran Trump telah dicabar di mahkamah, termasuk keputusan hakim yang membatalkan penggantungan visa kepada pemohon dari 75 negara.
Seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika berkata pada Selasa (25 Ogos) bahawa pihaknya telah melancarkan satu inisiatif latihan global di semua kedutaan dan konsulat Amerika di seluruh dunia. Janji temu bagi perkhidmatan visa akan disesuaikan bagi memberi ruang kepada latihan tersebut.
Encik Trump telah melaksanakan usaha pengusiran dan tindakan keras terhadap imigresen secara agresif. Ini termasuk membatalkan visa dan kad hijau serta menolak permohonan atas pelbagai sebab, termasuk pandangan politik dan penyertaan dalam tunjuk perasaan pro-Palestin yang membantah serangan sekutu Amerika, Israel, ke atas Gaza.
Beliau berkata tindakan keras tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan dalam negeri.
Tindakan tersebut bagaimanapun berdepan beberapa cabaran dari segi undang-undang. Pada Jumaat, seorang hakim Amerika membatalkan dasar pentadbiran Encik Trump yang menggantung pengeluaran visa pendatang kepada para pemohon dari 75 negara. Hakim tersebut memutuskan bahawa dasar tersebut melampaui kuasa yang diberikan oleh undang-undang kepada Setiausaha Negara Marco Rubio.
Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak memberikan butiran berhubung latihan tersebut atau tempoh pelaksanaannya.
Ia hanya menyatakan bahawa latihan tersebut bertujuan membantu para pegawai konsular mengenal pasti pemohon yang dianggap berkemungkinan bergantung pada bantuan awam Amerika.
Ia juga bertujuan memastikan penilaian terhadap pemohon visa dilakukan secara "menyeluruh dan konsisten".
Financial Times sebelum ini melaporkan penangguhan janji temu visa tersebut. Menurut laporan berkenaan, pemohon visa pendatang yang sudah dijadual untuk menghadiri temu bual di kedutaan dan konsulat Amerika menerima emel yang memaklumkan bahawa janji temu mereka akan dijadualkan semula.
Mereka akan dimaklumkan berhubung tarikh baharu bagi janji temu pada kemudian hari.
Tindakan keras imigresen Encik Trump dikecam secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai bersifat diskriminasi, selain melanggar hak kebebasan untuk bersuara serta proses undang-undang yang sewajarnya.
Kumpulan-kumpulan tersebut turut menyatakan bahawa tindakan itu mewujudkan persekitaran yang tidak selamat di Amerika, khususnya bagi golongan etnik minoriti yang menyuarakan kebimbangan berhubung pemprofilan berdasarkan kaum.
Meskipun Encik Trump berkempen pada 2024 dengan janji untuk menghentikan kemasukan pendatang haram, pentadbirannya turut menyukarkan kemasukan secara sah. Ini termasuk mengenakan bayaran baharu yang tinggi kepada pemohon visa kerja tertentu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.