Pensyarah minta maaf bawa kucing masuk kelas
Tular di media sosial tentang seorang pensyarah yang membawa kucing peliharaan bersamanya semasa mengajar dalam kelas. Beberapa video yang menunjukkan seekor kucing di depan kelas dikongsi seorang pelajarnya sendiri, yang kagum dengan kasih sayang pensyarahnya terhadap haiwan.
Petikan gambar dari video yang dimuat naik ke laman Twitter.
MALAYSIA: Tular di media sosial tentang seorang pensyarah yang membawa kucing peliharaan bersamanya semasa mengajar dalam kelas. Beberapa video yang menunjukkan seekor kucing di depan kelas dikongsi seorang pelajarnya sendiri, yang kagum dengan kasih sayang pensyarahnya terhadap haiwan.
Menerusi satu kiriman tweet, Ku Ummi Syakirah menulis tentang pensyarah subjek statistiknya yang terpaksa membawa kucing masuk ke kelas kerana baru "berjumpa doktor haiwan dan masih pening-pening lalat".
Video-video yang merakam saat-saat unik itu mendapat banyak reaksi dan dikongsi secara meluas.
Semasa dihubungi mStar, Syakirah memberitahu mStar bahawa sememangnya beliau dan rakan-rakan lain terkejut apabila pensyarah mereka masuk kelas dengan kucing yang dinamakan 'Baby' itu. mStar turut difahamkan bahawa pensyarah berkenaan dikenali sebagai Cik Rohaiza.
"Kami semua terkejut. Dia masuk kelas dukung kucing tu macam dukung budak. Dia layan kucing tu macam anak sendiri," kata Syakirah.
"Ini memang rare sebab kami tak pernah lalui pengalaman seperti ini. Ini kali pertama pensyarah mengajar kami dengan ditemani kucing."
Menurut penuntut pengajian perakaunan sistem maklumat itu lagi, pensyarah tersebut terdahulu meminta maaf kepada para pelajar.
"Sebaik sahaja sampai kelas, Madam banyak kali minta maaf. Dia beritahu terpaksa bawa sekali 'Baby' sebab mereka baru balik dari klinik haiwan.
"Dia beritahu kucingnya itu baru sahaja dibius kerana jangkitan ulser. Kami dapat lihat kucing tu macam tengah mengantuk ketika diletakkan di atas meja," ceritanya kepada mStar.
Beliau menambah, kucing itu bersahaja duduk dan "berkelakuan baik seolah-olah tahu tuannya sedang mengajar".
Ditanya tentang perasaannya semasa insiden itu, Syakirah berkata: "Kami semua kagum sebenarnya kerana Madam boleh handle dua perkara dalam satu masa. Dia boleh mengajar dan beri tumpuan kepada kucingnya."
Bagaimanapun, beliau akui bahawa dirinya dan rakan-rakan lain tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas kerana asyik melihat haiwan yang comel itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.