Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pensyarah hina pelajar miskin tanpa komputer riba; UiTM akan ambil tindakan

Anggaran Waktu Membaca:
Pensyarah hina pelajar miskin tanpa komputer riba; UiTM akan ambil tindakan

(Gambar: Tangkapan skrin video Shahiran Amin Channel/Facebook)

Diterbitkan : 30 Mar 2022 08:19PM Dikemas Kini : 31 Mar 2022 06:59AM

PERAK: Seorang pensyarah yang dilaporkan mengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) didakwa menghina pelajarnya kerana tidak memiliki komputer riba sewaktu kelas sedang berlangsung. 

Menerusi video yang tular di media sosial pada Rabu (30 Mac), pensyarah berkenaan turut menempelak pelajar itu yang dilihat tidak berusaha untuk memiliki komputer walaupun sudah berada dalam penggal kelima, lapor Astro AWANI. 

Malah pensyarah itu turut menyoal latar belakang keluarga pelajar berkenaan dan mengesyorkan kalangan ahli keluarganya agar "berkorban" barang kemas untuk tujuan pendidikan.

"Hanya RM800 (S$258) sahaja beli komputer, apa masalah kau. Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” kata pensyarah tersebut sebelum menyuruh seluruh kelas menutup fungsi kamera.

Tindakan itu mengundang kecaman orang ramai yang tidak bersetuju dengan cara tersebut, malah dikatakan telah memperlekehkan golongan B40, menurut Astro AWANI. 

UiTM sudah mengambil tindakan dan menurut Naib Canselor UiTM, Roziah Mohd Janor, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik institut pendidikan itu. 

Ujarnya lagi, kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian di universiti, terutamanya golongan B40.

"UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian. Pihak universiti juga telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni."

"Pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah diminta agar berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (30 Mac). 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan