Skip to main content

Dunia

Penjelasan Arab Saudi tentang kematian Khashoggi 'boleh dipercayai' - Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau mendapati penjelasan Arab Saudi berhubung kematian wartawan Jamal Khashoggi sebagai boleh dipercayai dan "langkah pertama yang penting".

Anggaran Waktu Membaca:
Penjelasan Arab Saudi tentang kematian Khashoggi 'boleh dipercayai' - Trump

Seorang aktivis memegang gambar wartawan Saudi yang hilang. (Gambar fail: Leah Milis/Reuters)

Diterbitkan : 20 Oct 2018 04:52PM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 04:56PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau mendapati penjelasan Arab Saudi berhubung kematian wartawan Jamal Khashoggi sebagai boleh dipercayai dan "langkah pertama yang penting".

Presiden Trump berkata, jika Amerika mengambil tindakan berikutan kematian Khashoggi, yang menurut Arab Saudi berpunca daripada pergaduhan di konsulatnya di Istanbul, beliau tidak mahu ia menjejaskan urus niaga penjualan senjata dengan kerajaan itu bernilai AS$110 bilion (S$151.50 bilion).

“Saya percaya, saya percaya," kata Presiden Trump ketika ditanya sama ada penjelasan Arab Saudi boleh dipercayai atau sebaliknya. "Tetapi ia masih terlalu awal, kita belum selesai membuat penilaian dan siasatan. Saya rasa ia langkah pertama yang sangat penting."

Sejak beberapa hari lalu, Presiden Trump mengeluarkan kenyataan kurang konsisten mengenai Khashoggi. Beliau berikrar akan mengenakan tindakan yang keras ke atas Riyadh tetapi dalam masa sama masih mahu Amerika mengekalkan hubungan rapat dengan kerajaan konservatif itu.

Sementara itu, anggota Kongres Amerika tampil dengan nada lebih keras berikutan pengumuman kematian Khashoggi oleh kerajaan Arab Saudi.

Sekutu rapat Presiden Trump, Senator Lindsey Graham, yang agak lantang mengenai isu Khashoggi, meragui kredibiliti pihak berkuasa Arab Saudi, yang sebelum ini bertegas mengatakan bahawa beliau sudah meninggalkan konsulat itu.

Arab Saudi hari ini mengesahkan bahawa wartawan yang hilang, Jamal Khashoggi terbunuh selepas terbabit dalam pergaduhan membabitkan berpuluh pegawai Arab Saudi di konsulatnya di Istanbul.

Selepas 18 hari menafikan pembabitannya dengan kehilangan kolumnis Washington Post itu, Riyadh akhirnya mengakui bahawa Khashoggi mati akibat satu pergaduhan selepas datang ke konsulat untuk mendapatkan dokumen bagi persiapan menjelang perkahwinannya tidak lama lagi.

Perbincangan di antara Khashoggi dan pegawai di konsulat berkenaan bertukar ganas sehingga membawa kepada kematiannya. Mereka yang terbabit kemudian cuba menyembunyikan kejadian itu, kata stesen penyiar rasmi Arab Saudi.

Susulan kejadian, lima pegawai kanan Arab Saudi dipecat termasuk timbalan ketua perkhidmatan perisikan kerajaan itu dan 18 lagi warganya.

Arab Saudi turut menubuhkan sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang akan menyusun semula bahagian perisikan Arab Saudi dan diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan.

Suruhanjaya itu akan terdiri daripada pegawai keselamatan negara, kementerian luar dan kementerian dalam negeri. 

Sumber : AFP/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita