Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur antara faktor jimat RM11 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur antara faktor jimat RM11 bilion

Para pekerja di tapak pembinaan. (Gambar: BERNAMA)

PUTRAJAYA: Penjimatan kos pembangunan keseluruhan (TDC) RM11.01 bilion (S$3.3 bilion) untuk projek landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), antara lain disumbangkan daripada penjajaran semula landasan pada Seksyen C melibatkan jajaran Temerloh- Serendah-Pelabuhan Klang.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menyatakan pengurangan TDC asal pada 2017 daripada RM85.97 bilion (S$26.1 bilion) kepada kos terkini RM74.96 bilion (S$22.8 bilion) juga tercapai selepas pelaksanaan Kejuruteraan Nilai (VM) yang menyeluruh.

“Kementerian ini juga ingin menekankan bahawa kos pembinaan ECRL 3.0 (Projek ECRL terkini) yang lebih rendah ini dicapai melalui beberapa siri rundingan semula kontrak ECRL yang telah dimuktamadkan pada 2019 dan 2022,” menurut kementerian itu dalam kenyataannya pada Khamis (22 Dis).

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Rabu (21 Dis) dalam satu sidang media mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan projek berkenaan dengan pengurangan kos dan tidak akan membawa banyak perubahan untuk mengelak melambatkan proses pelaksanaan dan menyulitkan kerja-kerja serta rundingan sedia ada.
Sebagai perbandingan, menurut MOT, TDC asal untuk Projek ECRL yang dilancarkan pada 2017 (ECRL 1.0) berjumlah RM85.97 bilion (S$26.1 bilion) merangkumi kos pembinaan RM66.78 bilion (S$20.32) dan kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan (IDC), pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan serta perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion (S$5.8 bilion).

Sementara TDC untuk ECRL 3.0 dianggar berjumlah RM74.96 bilion (S$22.8 bilion) merangkumi kos pembinaan jauh lebih rendah iaitu RM50.27 bilion (S$15.30 bilion), manakala kos pembangunan lain seperti IDC, pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan serta perbelanjaan mengurus RM24.69 bilion (S$7.5 bilion).

MOT juga menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan bagi memastikan projek ECRL dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat dan negara sebagaimana dirancang.

Kementerian itu turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia kini dapat menikmati projek ECRL yang ditingkatkan nilainya bagi perkhidmatan penumpang dan kargo iaitu pembinaan rel sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang.

Selain itu, pembinaan 20 stesen, pembinaan Serendah Bypass yang melancarkan pergerakan kargo dari utara serta pemanjangan rel dari Stesen Jalan Kastam ke kedua-dua terminal Westport dan Northport.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan