Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penjaja S'pura bayar pembantu gerai S$7,200 sebulan di cawangan New York

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaja S'pura bayar pembantu gerai S$7,200 sebulan di cawangan New York

(Gambar: @prawnaholic/Instagram)

SINGAPURA: Harga inflasi makanan di pusat penjaja menjadi buah mulut orang kebelakangan ini, dengan sesetengah penjaja terpaksa menaikkan harga jualannya dek kos yang meningkat.

Pelanggan di Singapura mungkin dapat menikmati semangkuk hidangan, katakanlah mi udang, pada harga purata S$6 yang boleh dianggap berpatutan. Namun, jika anda ingin menjamu hidangan yang sama di New York, anda perlu menokok wang sekitar tiga kali lebih banyak kerana semangkuk mi udang di sana berharga S$26!

Sebuah gerai penjaja di Pasir Ris, Prawnaholic, baru-baru ini mengenakan bayaran AS$18 (S$26) bagi semangkuk mi udang di cawangannya di Manhattan, dipanggil Prawnaholic Collections. 

Cawangan di New York itu adalah sebahagian daripada gerai di Urban Hawker, sebuah pusat penjaja ala Singapura terletak di Times Square dan dirasmikan pada 21 September lalu.

Konsep pusat penjaja itu dilakarkan oleh pengasas Makansutra, KF Seetoh, dan menampilkan 11 gerai milik rakyat Singapura.

Dalam satu wawancara bersama akhbar Shin Min Daily News, pemilik Prawnaholic, Alan Choong, mendedahkan beliau membayar tiga pembantu gerainya di New York gaji bulanan sehingga AS$5,000 (S$7,200).

“Waktu bekerja penjaja amatlah panjang dan undang-undang tempatan menghadkan waktu kerja setiap pekerja jadi saya ada dua pasukan yang bekerja secara syif di gerai saya," terang pemilik berusia 26 tahun itu. 

Menurut Jabatan Buruh New York, pendapatan minimum di wilayah itu ialah AS$15 (S$22) setiap jam. 

Menurut Alan, beliau juga mengenakan bayaran S$26 bagi setiap mangkuk mi udang untuk menampung kos operasinya yang tinggi, termasuk bahan-bahan masak dan harga sewa di kawasan utama.

"Harga yang saya kenakan itu sama dengan harga makanan di sini," ujarnya. 

Sebagai perbandingan, mi udang di Pusat Penjaja Pasir Ris bermula dari S$7 semangkuk. 

Sumber : Today/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan