Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penjagaan gigi dan gusi yang kuat penting buat kesihatan tubuh anda. Ini sebabnya

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Kebersihan oral merupakan satu perkara yang amat penting untuk kesihatan diri kita. Penjagaan mulut yang tidak rapi boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit yang merosakkan gigi dan gusi.

Bahagian dalam mulut anda adalah tempat paling sesuai bagi bakteria untuk membiak. Ia gelap, basah dan makanan serta minuman yang anda makan menjadi nutrien bagi bakteria.

Apabila bakteria berbahaya berkumpul di sekitar gigi dan gusi anda, anda berisiko untuk menghidap penyakit gusi atau 'periodontal disease'. Menurut pakar, ia menyebabkan jangkitan dan keradangan pada gusi dan tulang pada gigi anda.

Malah keadaan itu mungkin mempengaruhi bahagian tubuh anda yang lain, kata Kimberly Bray, seorang profesor kebersihan gigi di Universiti Missouri-Kansas City.

Malah, kebanyakan penyakit oral juga berkongsi faktor risiko dengan pelbagai penyakit seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis, jangkitan pernafasan dan juga demensia.

MASALAH KESIHATAN BERKAIT KESIHATAN GIGI

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit oral mempengaruhi lebih 3.5 juta orang di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), sekitar 47 peratus orang berusia 30 tahun dan ke atas menghidap penyakit gusi, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Pada peringkat awal, yang dinamakan gingivitis, gusi mungkin menjadi bengkak, merah atau sensitif serta mudah berdarah.

Jika tidak segera dirawat, gingivitis akan menjadi periodontitis, iaitu penyakit lebih teruk di mana timbul ruang kecil antara gusi dan gigi. Akibatnya gusi yang seharusnya menahan gigi akan longgar dan menyebabkan gigi tercabut.

Bakteria dan produk sampingan toksik boleh bergerak dari permukaan gusi dan gigi ke dalam aliran darah, di mana ia boleh merebak ke organ yang berbeza, kata Ananda P Dasanayake, seorang profesor epidemiologi di Kolej Pergigian Universiti New York.

KENCING MANIS

Penyakit gusi meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan sebaliknya.

Penyelidik masih belum memahami dengan tepat bagaimana ini mungkin berfungsi, tetapi dalam satu ulasan yang diterbitkan pada 2017, penyelidik menulis bahawa keradangan sistemik yang disebabkan oleh penyakit gusi mungkin memburukkan keupayaan tubuh untuk memberi isyarat dan bertindak balas terhadap insulin.

Dalam satu kajian lain, yang diterbitkan pada April, saintis mendapati bahawa pesakit kencing manis yang dirawat untuk penyakit gusi menyaksikan keseluruhan kos penjagaan kesihatan mereka berkurangan sebanyak 12 hingga 14 peratus.

RADANG PARU-PARU

Jika sejumlah besar bakteria dari mulut merebak ke paru-paru, ia akan mengakibatkan jangkitan pada paru-paru, kata Dr Frank Scannapieco, seorang profesor biologi gigi di Sekolah Perubatan Gigi di Universiti Buffalo.

PENYAKIT KARDIOVASKULAR

Dalam satu laporan diterbitkan pada 2020, sekumpulan pakar antarabangsa menyimpulkan bahawa terdapat kaitan yang ketara antara penyakit gusi dengan serangan jantung, angin ahmar, plak di arteri, dan gangguan pada jantung dan pembuluh darah yang lain.

Beberapa kajian mencadangkan bahawa amalan kebersihan gigi yang baik dikaitkan dengan kadar penyakit jantung yang rendah.

KOMPLIKASI KETIKA HAMIL

Dalam satu kajian pada 2019, para pengkaji mendapati bahawa merawat penyakit gusi semasa hamil boleh mengurangkan risiko kelahiran bayi tidak cukup bulan serta kematian janin atau bayi baru lahir.

Satu kajian pada 2009 pula mendapati bahawa bakteria oral boleh masuk ke plasenta, dan mungkin menyebabkan jangkitan serius pada plasenta dan cecair ketuban.

Akibatnya, ia boleh menyebabkan kelahiran awal atau komplikasi mengancam nyawa jika tidak dirawat.

DEMENSIA

Dalam satu kajian baru-baru ini, para saintis menarik perhatian bahawa bakteria oral, khususnya berkaitan dengan penyakit gusi boleh menjejas otak secara langsung melalui "jangkitan pada sistem saraf" atau secara tidak langsung dengan menyebabkan "keredangan kronik sistematik" yang sampai ke otak.

PENYAKIT-PENYAKIT LAIN

Bakteria oral juga sering dikaitkan dengan sejumlah penyakit lain seperti atritis reumatoid dan osteoporosis, kata Dr Bray. Kajian yang baru muncul juga mengaitkan bakteria oral dengan penyakit buah pinggang dan hati, serta barah usus dan payudara.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN

Cara terbaik untuk mengekalkan kesihatan oral paling asas termasuk meberus gigi dua kali sehari dan flos setiap hari, kata Dr Scannapieco.

Kurangkan juga minuman berasid seperti minuman ringan, kordial dan jus yang akan melemahkan mineral pada enamel gigi lalu menyebabkan kaviti.

Kurangkan juga makanan bergula kerana bakteria yang terdapat pada plak-plak di gigi akan menukarkan gula menjadi asid.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan