Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga redha, pelanggan guna wang kertas RM100 palsu

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA NERUS: Seorang peniaga mendakwa menerima wang kertas palsu daripada pelanggan yang tidak dikenali ketika membeli ayam payang dijual di gerainya, yang terletak bersebelahan Balai Polis Tepoh, di Kuala Nerus, Terengganu, pada Rabu (10 Jan).

Syaubah Kamal, 34 tahun, berkata, perkara itu disedari suaminya, Mohd Azmi Long@Ismail, 42 tahun, ketika mengambil duit berkenaan untuk membeli bekas plastik membungkus ayam sekitar pukul 4.00 petang, lapor Sinar Harian.

"Saya tidak perasan masa bila dapat duit palsu itu sebab kebetulan hari ini adik saya, Muhammad Ezam Kamal, 23 tahun, bantu kami berniaga.

"Biasanya suami saya yang jaga gerai ini tapi hari ini dia ada urusan yang perlu diselesaikan.

"Saya pula hanya boleh duduk di kerusi roda sahaja sebab tidak boleh berdiri. Kaki saya cedera selepas kemalangan tiga tahun lepas.

"Adik saya mungkin tidak perasan sebab dia belum biasa berniaga. Ketika pegang, rasa lain, bukan wang asli sebaliknya macam kertas yang dicetak gambar duit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Cik Syaubah, sebanyak tiga keping duit RM100 (S$29) yang diterima daripada pelanggan pada Rabu dan satu daripadanya dikesan duit palsu.

"Kita terima ramai pelanggan antara jam 12.30 hingga 1.30 petang. Waktu itu keadaan agak sibuk.

"Saya rasa waktu tu ada yang ambil kesempatan beli ayam guna duit palsu.

"Saya halalkan apa yang mereka makan, mungkin bukan rezeki saya.

"Cuma bagi saya, saya perlu beri peringatan kepada peniaga-peniaga lain supaya tidak tertipu dengan taktik licik itu.

"Bayangkan kalau peniaga macam mak cik yang dah tua, jual air tepi jalan, ditipu pula dengan duit palsu ini, berapa banyak kerugian yang dia perlu tanggung sedangkan dia berniaga pun tidak seberapa?" ujarnya yang baru lima bulan berniaga ayam payang.

Cik Syaubah berkata, dia dan suami bercadang untuk membuat laporan di Balai Polis Tepoh dalam tempoh terdekat.

"Saya perlu buat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan dan tidak ada orang yang teraniaya dan tanggung kerugian dengan penipuan itu," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan