Peniaga nasi di Kelantan ditangkap, sorok makanan dalam mesin basuh, tandas untuk dijual kepada orang tidak puasa
(Gambar: Pejabat Agama Daerah Bachok)
BACHOK: Muslihat seorang peniaga yang menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa bertindak menyembunyikan nasi bungkus di dalam mesin basuh dan lauk di tandas tidak berhasil apabila berjaya dihidu pihak berkuasa, lapor Malaysiakini.
Situasi itu berjaya dikesan dalam operasi oleh Pejabat Agama Daerah Bachok, Kelantan dan Majlis Daerah Bachok di sekitar kawasan Tangok pada Ahad (26 Mac).
Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof berkata, dalam operasi itu antara pukul 10.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari itu, pihaknya berjaya merampas lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam dan minuman teh o ais.
Selain itu, katanya, seorang wanita yang juga pemilik rumah yang diserbu berusia 40-an juga diberi amaran agar tidak mengulangi aktiviti terbabit.
“Operasi itu dilakukan hasil pemantauan dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.
"Hasil operasi menemukan lebih 20 bungkus nasi yang disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap di dalam tandas.
"Selain itu, kita juga menemukan teh o ais yang disembunyikan dalam bilik tidur. Hasil soal siasat, pemilik rumah mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan itu.
"Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa," katanya kepada media pada Isnin (27 Mac).
Tambah Encik Suratemi, pihaknya memberi nasihat kepada wanita itu supaya tidak menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa dan wanita itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terbabit pada masa akan datang.
“Peniaga itu juga akan dipanggil untuk diberi kaunseling supaya tidak menjual makanan pada waktu pagi sepanjang Ramadan ini.
"Dalam operasi itu, tiada tangkapan dibuat berikutan mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” Malaysiakini memetik kata-katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.