Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga M'sia terpaksa jual Nasi Lemak tanpa telur dek kekurangan bekalan telur ayam

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga M'sia terpaksa jual Nasi Lemak tanpa telur dek kekurangan bekalan telur ayam

(Gambar hiasan: belleogram/Instagram)

Diterbitkan : 09 Feb 2022 07:48PM Dikemas Kini : 09 Feb 2022 07:54PM

SHAH ALAM: Bekalan telur ayam yang sukar didapati dengan harganya terus meningkat di sesetengah tempat menjejaskan peniaga dan orang awam yang bergantung kepada bahan mentah tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit dan pasar raya di Seksyen 30 serta 31 di Shah Alam pada Selasa (8 Feb) mendapati bekalan telur ayam tidak konsisten bagi sesetengah premis tersebut.

Hasil tinjauan bagaimanapun mendapati harga telur ayam di premis-premis berkenaan masih terkawal seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), lapor Sinar Harian.

Seorang peniaga nasi lemak di sana, Muhd Amareza Abu Bakar, 26 tahun, terpaksa menjual nasi lemak tanpa telur ayam kerana sukar mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut sejak dua minggu lalu.

Dia yang menjual hidangan tersebut sejak dua tahun lalu turut menerima rungutan daripada pelanggan-pelanggan yang ingin membeli nasi lemak bersama lauk tersebut untuk anak mereka.

"Saya berniaga nasi lemak waktu pagi dan petang, jadi kalau pagi dah habis, saya terpaksa menjual nasi lemak tanpa telur pada waktu petang, jadi pelanggan selalunya merungut kerana tiada pilihan lauk untuk mereka disebabkan ingin membeli lauk telur untuk anak mereka."

Di sebuah pasar raya di Shah Alam, mereka mengehadkan pembelian telur kepada lima papan satu keluarga, malah harga telur gred C turut meningkat daripada sekitar RM9.00 (S$2.90) sepapan kepada RM11.90 (S$3.80).

"Rasanya macam makin susah nak dapatkan bekalan telur terutamanya menjelang Ramadan dan Syawal, jadi saya harap isu ini tidak berlarutan kerana kami turut berdepan isu bekalan minyak peket yang masih sukar didapati di pasaran," kata beliau kepada Sinar Harian pada Selasa (8 Feb).

Peniaga lain, Saharuddin Shaid, 52 tahun, berkata, ketiadaan bekalan telur ayam mengganggu perniagaannya apabila stok tersebut perlu dibahagikan kepada tiga gerai miliknya di sekitar Shah Alam.

Disebabkan isu tersebut, kini dia hanya mampu mendapatkan 180 hingga 200 biji telur ayam untuk perniagaannya berbanding 240 biji telur ayam sebelum ini.

Katanya, kenaikan harga barang mentah tersebut dan lain-lain turut menurunkan hasil keuntungannya sebanyak 30 peratus.

Telur adalah salah satu lauk tarikan ramai di gerai kerana harganya murah berbanding lauk lain. Bila telur tiada, lauk lain kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan kerana harganya lebih mahal, seperti dinukil Sinar Harian.

"Kadang-kadang saya terpaksa pergi ke beberapa kedai untuk mendapatkan bekalan, itu pun bukan jumlah seperti yang diharapkan, katanya yang berniaga sejak 12 tahun lalu," kata Encik Saharuddin.

Daripada perspektif pengguna pula, Ahmad Fikri Mat Yusoff, 35 tahun, terpaksa membeli telur ayam jenis lain seperti telur organik yang lebih mahal daripada telur biasa kerana sukar untuk mendapatkan bekalan barang mentah tersebut.

"Walaupun tidak berniaga, kita sebagai pembeli akan turut terasa juga kalau harga telur naik, jadi saya harap hal ini dapat diselesaikan dari segi rantaian bekalan supaya isu yang kita tahu seperti terputus bekalan ini tidak akan berulang," katanya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan