Skip to main content

Dunia

Peniaga Langkawi berharap pemenang PRU15 dapat hidupkan semula sektor pelancongan

Anggaran Waktu Membaca:
LANGKAWI: Para peniaga di Langkawi berharap sesiapa yang bakal menjadi Ahli Parlimennya nanti dapat menghidupkan semula sektor pelancongan pulau itu.

Apatah lagi, mereka masih bergelut untuk bangkit semula akibat kesan penularan pandemik COVID-19.

Pulau Langkawi amat bergantung kepada industri pelancongan, dengan ekonomi pulau berkenaan membentuk 90 peratus daripada pendapatan yang dijana.

Bukan saja pemain-pemain besar, industri tersebut turut melibatkan para peniaga kecil-kecilan.

Salah seorang peniaga kecil ditemui BERITAMediacorp ialah Sayuti Muhammad yang sudah lima tahun berniaga di Langkawi.

Tidak dapat disangkalkan cabaran terbesar perlu dihadapi Encik Sayuti selama berniaga adalah penularan COVID-19.

Beliau terpaksa menutup kedai busana miliknya di Pantai Cenang selama dua tahun.

Kini meskipun sempadan sudah dibuka semula, beliau masih merangkak untuk bangkit semula.

"Kalau sebelum COVID-19 itu pendapatan kita seperti dua barang boleh dijual tetapi selepas COVID-19 ini pendapatan kita satu ataupun separuh macam begitu dijual. Jadi dia tidak sampai kedua macam itu," kongsi beliau.

HARAPAN SEKTOR PELANCONGAN LANGKAWI

Nasib ditimpa Encik Sayuti dirasai para pemain industri pelancongan Langkawi.

Mentelah lagi, jumlah pelancong yang datang ke pulau itu pula menjunam 70 peratus pada tahun lalu berbanding tempoh sebelum COVID-19.

Encik Sayuti menambah: "Harap ada kemudahan kepada segi prosedur. Jangan terlalu rumit sangat. Kita peniaga kecil-kecilan bukannya semuanya berpelajaran tinggi. Ada yang tidak sekolah. Itulah harapan saya.

Seorang pemandu pelancong, Johari Beto, berkata: "Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi cuma saya minta sesiapa yang menerajui Pulau Langkawi ini harap beliau dapat menjalankan tugas yang diamanahkan rakyat untuk membawa Langkawi maju ke peringkat lebih tinggi dari sekarang."

Selain mereka, peniaga makanan Cik Norazlinan Zainon juga merasakan keperitan kesan COVID-19.

Kedai beliau di kawasan Pantai Cenang yang sebelum ini dibanjiri para pelancong juga terpaksa ditutup.

"Kalaulah ada kerajaan baru ke apa, kita harap dia dapat meningkatkan lagi balik perniagaan yang kami jalankan," luah beliau.

JANJI CALON DAN PARTI BERTANDING

Akur dengan kesempitan dilalui para peniaga Langkawi, calon-calon dan parti-parti yang sedang bertanding menaburkan janji mereka semasa berkempen.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Pejuang Abu Bakar Yahya berkata: "Jadi perancangan-perancangan itu saya yakin dan percaya ada dalam kepala Tun Dr Mahathir Mohamad.
(Gambar: Ruzaini Rashid)
"Maka itu, saya meyakinkan pengundi-pengundi di Langkawi dan pengundi seluruh negara supaya kita bersama-sama dengan calon-calon parti Pejuang dan pastikan mereka menang untuk kita kembalikan negara ini ke landasan yang betul mengikut undang-undang, peraturan dan menghormati perlembagaan."

Calon Barisan Nasional bagi kerusi Langkawi Armishah Siraj pual berjanji: "Saya ada satu dua misi yang akan saya bawa ke Parlimen jika diizinkan Allah S.W.T jika menang.
 
(Gambar: Ruzaini Rashid)
"Salah satunya seperti saya sebut tadi adalah visa percuma. Visa percuma ini bermakna penerbangan langsung hanya ke Langkawi seperti kita buat di Bali dan Phuket."

Persaingan lima penjuru bagi kerusi Parlimen Langkawi dijangka sengit dalam PRU15 nanti.

Lebih 66,000 warga Langkawi layak ke kotak undi pada 19 November.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita