Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga kuih raya di Johor tidak menang tangan selepas sempadan S'pura-M'sia dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura sejak 1 April lepas memberi kelegaan kepada banyak pihak khususnya peniaga barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar Johor Bahru. 

Tinjauan Bernama mendapati terdapat peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan tempatan dan warga Singapura yang mahu menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah selepas lebih dua tahun terkesan akibat pandemik COVID-19.

Peniaga biskut tradisional dan moden Mohd Naharudin Isa, 53 tahun, berkata beliau tidak menyangka gerai jualannya di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

“Saya sangka perniagaan tidak begitu rancak tetapi Alhamdulillah apabila kerajaan benarkan sempadan negara dibuka, rakyat Singapura boleh masuk, sambutannya seperti sebelum wabak COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Pemilik Nahar Power yang sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata walaupun mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, pihaknya berdepan masalah pengeluaran produk kerana kekurangan tenaga pekerja.

Pemilik Su Home Bakers, Suhaiza Ibrahim, 45 tahun, turut menzahirkan kesyukuran apabila perniagaannya kembali pulih dan kini sibuk memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau berkata pembukaan sempadan serta negara memasuki fasa peralihan ke endemik memberi sinar baru buat peniaga sepertinya.

“Sebelum pandemik pelanggan kita dalam 80 peratus adalah warga Singapura. Kita alami kemerosotan yang teruk (semasa pandemik) dengan longgokan stok kuih yang tidak terjual,” katanya yang menjual 50 jenis kuih raya.

Sementara itu, warga Singapura, Nur’ Aida Purwantu Jame’at, 31 tahun, berkata pembukaan sempadan antara kedua-dua negara membolehkan beliau mencari barang keperluan untuk sambutan Aidilfitri di Johor Bahru yang menawarkan pelbagai pilihan.

“Sudah dua kali saya masuk (Malaysia) sejak sempadan dibuka untuk mencari kuih raya… ada juga kawan dan saudara mara kirim, jadi saya tolong belikan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dengan beberapa kelonggaran mula diberikan, antaranya pembukaan sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan