Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga JB tidak menang tangan terima permintaan tinggi rakyat S'pura bagi keperluan Raya

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, pusat beli-belah Angsana di Johor Bahru "lengang", kata Cik Suhaiza Ibrahim.

Pemilik perniagaan 'Sue's Homemade Cookies', yang terletak di pusat beli-belah itu, mengenang kembali ruang-ruang koridor yang lengang dan kedai-kedai yang terpaksa ditutup, sedang penutupan sempadan yang berlarutan antara Singapura dengan Malaysia menyuramkan sektor runcit sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Sekalipun demikian, perbezaan suasana perayaan dan perniagaan pada 2022 berbanding 2021 bagai langit dengan bumi, kata Cik Suhaiza.

"Sambutan bagi biskut-biskut kami sangat luar biasa tahun ini," kata beliau.

"Kami tidak menang tangan dengan jumlah tempahan yang diterima dan sejujurnya kami tidak ada bekalan yang mencukupi untuk semua orang. Permintaannya benar-benar di luar jangkaan."

(Gambar: CNA/Amir Yusof)

Beliau turut merujuk kepada pembukaan semula sempadan darat antara Singapura dengan Johor awal bulan ini sebagai pendorong utama jualan rancak semasa musim perayaan kali ini.

"Bagi gerai seperti kami, 70 peratus perniagaan datang daripada pelanggan Singapura. Sebelum COVID-19 melanda, rakyat Singapura akan datang ke Angsana. Kami sangat gembira kerana sempadan sudah dibuka semula, mereka datang lagi," tambah beliau.

Perniagaan-perniagaan lain di Johor Bahru, yang menjual produk Hari Raya turut melaporkan lonjakan pada penjualan masing-masing bulan ini, dengan ramai yang menyatakan ia disebabkan oleh pelawat rakyat Singapura yang kembali melanggani kedai mereka.

Selain itu, para pengunjung dari Singapura yang ditemui oleh Mediacorp berkata mereka memutuskan untuk menyeberang Tambak untuk membeli-belah sempena Hari Raya disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang yang disifatkan sebagai sangat berbaloi, dengan Ringgit Malaysia melemah berbanding Dolar Singapura.

PENDAPATAN MELONJAK, BEKALAN BERKURANGAN

Pusat beli-belah Angsana adalah salah sebuah pusat beli-belah yang popular untuk memborong barangan Hari Raya di Johor Bahru. Ini sebahagiannya disebabkan oleh lokasinya yang terletak di tengah-tengah kawasan bandar.

Apabila Mediacorp mengunjungi pusat beli-belah itu pada Selasa malam (26 Apr), ia sesak dengan para pengungjung.

Di kedai Cik Suhaiza, yang terletak di tingkat satu, para pelanggan terpaksa beratur untuk memasuki kedainya. Banyak kuih-muih seperti popiah serunding dan kuih makmur, sudah habis dijual.

"Kami tidak menjangka mereka akan begitu cepat mengumumkan pembukaan semula sempadan, jadi kami tidak menyediakan bekalan yang mencukupi untuk jumlah pelanggan seramai ini," kata beliau, sambil menambah pendapatannya meningkat seganda berbanding tahun lalu.

Orang ramai juga dilihat menunggu di luar sebuah kedai kuih-muih yang terletak bertentangan dengan kedai Cik Suhaiza.

Di Impian, yang menjual perhiasan dan lampu lap-lip Hari Raya, dilihat terdapat ramai juga pelanggan.

Pemiliknya, Cik Tan Shwn Ing, memberitahu Mediacorp sepanjang 20 tahun beliau berniaga di Angsana, beliau belum pernah menerima permintaan begitu tinggi bagi produk Hari Raya yang dijualnya.

(Gambar: CNA/Amir Yusof)

Beliau berkata bekalan bagi lampu hiasan LED sudah berkurangan dan beliau terpaksa membuat tempahan saat akhir untuk menambahnya.

"Ini disebabkan pembukaan semula sempadan dan terdapat permintaan terpendam dari Singapura. Ramai pelanggan Singapura saya menelefon saya untuk membuat tempahan kali ini," kata Cik Tan, 41 tahun.

"Saya berterima kasih kerana mereka membeli dalam jumlah yang banyak, untuk anggota keluarga dan rakan-rakan. Ini sangat baik untuk perniagaan kami dan kami berharap rakyat Singapura akan datang lagi, malah selepas Raya," tambah beliau.

Di luar pusat beli-belah tersebut, khemah-khemah sudah didirikan bagi membangunkan bazar supaya orang ramai boleh membeli juadah berbuka puasa.

(Gambar: CNA/Amir Yusof)

Selain pusat beli-belah Angsana, perniagaan-perniagaan yang menjual produk Hari Raya di kawasan lain di Johor Bahru juga meraih pendapatan yang lebih baik dalam masa beberapa minggu ini.

Sebagai contoh, pemilik gerai yang menjual daging panggang beku dan tofi berasaskan kelapa di Bazar Ramadan Taman Dahlia memberitahu Mediacorp, perniagaannya naik lima kali ganda berbanding tahun lalu.

Pasangan suami isteri Ahmad Mustafa dan Zuraidah Ismail berkata mereka dapat melihat lebih banyak kenderaan dengan nombor plat berdaftar Singapura di kawasan itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

(Gambar: CNA/Amir Yusof)

"Kami bersyukur sempadan sudah dibuka semula," kata Cik Zuraidah.

"Pendapatan yang meningkat ini sangat penting selepas mengharungi tahun-tahun sukar. Kini kami boleh menantikan Hari Raya yang penuh keberkatan," tambah beliau.

Cik Zuraidah berkata beliau menjangkakan dapat menjual semua bekalan sedia ada pada musim perayaan kali ini.

RAKYAT S'PURA REBUT PERTUKARAN MATA WANG SANGAT BERBALOI

Encik Mohd Firdaus Ismail, rakyat Singapura yang membeli-belah di Angsana memberitahu Mediacorp bahawa beliau memutuskan untuk membeli-belah di Johor setelah mengetahui tentang kadar pertukaran mata wang yang berbaloi itu.

Sepanjang minggu lalu, dolar Singapura mencatat sekitar 3.17 berbanding ringgit Malaysia, naik dari 3.10 pada awal April.

Ini menjadikannya lebih berbaloi untuk rakyat Singapura seperti Encik Firdaus untuk membeli-belah di Johor.

"Apabila saya dengar tentang (kadar pertukaran itu), saya membuat keputusan untuk menukar sedikit duit di Singapura. Kemudian saya mengambil cuti dan membawa seisi keluarga ke sini untuk hari ini - kami membeli-belah, berbuka puasa dan kemudian pulang ke Singapura," kata Encik Mohd Firdaus.

(Gambar: CNA/Amir Yusof)

Sumber : CNA/NK/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan