Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga durian di M'sia guna media sosial, COVID-19 corak norma baru industri

Menikmati raja buah di Malaysia ibarat satu kegiatan bermasyarakat, seringkali dikongsi bersama ahli keluarga dan sahabat handai di gerai-gerai tepi jalan. Namun sejak PKP, industri itu seakan-akan beralih ke norma baru

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga durian di M'sia guna media sosial, COVID-19 corak norma baru industri

(Gambar: Genevieve Loh)

Diterbitkan : 28 May 2020 10:06PM Dikemas Kini : 28 May 2020 10:11PM

KUALA LUMPUR: Menikmati raja buah di Malaysia ibarat satu kegiatan bermasyarakat, seringkali dikongsi bersama ahli keluarga dan sahabat handai di gerai-gerai tepi jalan.

Sedang barisan gerai durian mula tumbuh bak cendawan di Lembah Klang, menandakan ketibaan musim raja buah itu, di Pulau Pinang pula, kerajaan negeri menggalak penjaja beralih ke wadah online dan melarang penjualan di tepi jalan, di tengah-tengah pandemik COVID-19. Di Balik Pulau, lawatan ke dusun-dusun durian juga tidak dibenarkan.

Di Facebook pula para penjual mempromosikan raja buah itu dengan pilihan penghantaran ke depan pintu rumah. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini, khidmat penghantaran sedikit sebanyak membantu penjualan.

Malah setelah PKP dijadual tamat ada 9 Jun pun, pengasas bersama dan pengarah pemasaran Durian Hill, Ernest Hill, tidak menjangkakan ramai pembeli yang akan makan di gerai.

"Kami akan tumpukan pada model sama seperti waktu PKP, iaitu lebih tumpuan pada penghantaran," kata beliau.

NORMA BARU PENJUALAN DURIAN

Dong Sech Sing, pemilik syarikat Bentong Durians di Pahang, dibanjiri pertanyaan daripada pelanggan tentang bekalan durian di dusunnya.

Khidmat penghantaran ke Lembah Klang sebelum ini hanya membentuk 10 peratus perniagaannya, dengan tumpuan utama adalah pelanggan yang berkunjung ke dusunnya untuk menikmati hasil daripada 150 pokok di situ.

Encik Dong malah menerima kunjungan pelancong sejauh China dan Amerika Syarikat. Namun dengan pandemik COVID-19, beliau jangkakan jumlah pengunjung akan menjunam.

Turut membimbangkan pekebun ini ialah buah durian di dusun mereka dijangka gugur dalam masa dua minggu hingga sebulan lagi.

"Mereka bimbang sama ada kita ada tempat untuk jual durian ini,"katanya lagi.

Durian Hill, yang mengendalikan sebuah gerai di hab komersil SS2 di Petaling Jaya, sebelum ini sudahpun menawarkan durian beku dalam pek bungkusan kedap udara bagi penghantaran ke rumah semasa PKP.

12 tan durian beku itu sepatutnya dieksport ke China, tetapi mereka memutuskan untuk cuba menjualnya di pasaran tempatan dan ternyata mereka menerima sambutan hangat.

Encik Lee menambah sekitar 80 peratus stok durian beku sudah dijual.

"Ini satu norma baru bagi warga Malaysia... kita sudah boleh terima durian beku," kata beliau, sambil menambah bahawa mereka pasti akan memilih durian segar apabila tiba musim nanti.

PEMBELI DAKAP PEMBELIAN ONLINE, TAPI RINDU KERAMAIAN

Sejak musim durian bermula di Pulau Pinang bulan lalu,Ketty Ooi Zi Qian, suri rumah 33 tahun, memesan durian secara online beberapa kali untuk keluarganya. Ada penjual yang mengopek buah dan meletakkan isinya ke dalam bekas. Ada pula menghantar raja buah itu langsung dari dusun.

Bagaimanapun, keluarga Cik Ooi masih rindu menikmati buah tersebut di gerai tepi jalan atau di dusun.

Tidak dapat melihat keadaan durian sebelum membeli juga membuat sebilangan pelanggan rasa teragak-agak. Brian J Chong dari Petaling Jaya pernah membeli durian menerusi aplikasi penghantaran makanan semasa Hari Ibu, namun menurutnya mutu durian yang diterima tidak begitu memuaskan.

"Sudah pasti saya tidak akan makan di gerai dalam keadaan sekarangi, namun jika terdesak dan berdekatan dengan gerai di SS2, saya akan beli dan bawa balik," kata pengurus pemasaran 39 tahun itu.

"Saya tidak pasti jika saya akan memilih khidmat penghantaran lagi, kecuali (penjualnya) disarankan oleh rakan-rakan saya," kata 'hantu' durian itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan