Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga beri apam balik percuma kepada ibu mengandung

Anggaran Waktu Membaca:
TAMPIN: Memulakan perniagaan apam balik sejak tahun 2012, Syahrina Ahmad, 38, memberitahu tidak menyangka perjalanannya sebagai pengusaha pemanis mulut sejauh ini.

Cik Syahrina ketika ditemui Astro Awani berkata permintaan terhadap apam balik pada musim cuti sekolah amat luar biasa.

“Kalau musim cuti sekolah atau perayaan, jualan boleh mencecah sehingga 10 kilogram sehari atau lebih 100 keping.

“Lagipun kedai saya terletak di dalam pasar Tampin. Bila cuti sekolah ramai yang ambil peluang pulang ke kampung. Alhamdulillah jualan positif,” katanya.

Sebagai pengusaha apam balik ‘Tampin 3’, Cik Syahrina memberitahu apa yang menarik adalah ibu-ibu mengandung akan mendapat apam balik percuma setiap kali berkunjung ke gerainya.

“Salah satu cara untuk menghargai pelanggan kami adalah pemberian apam balik percuma kepada ibu mengandung yang singgah."

"Mungkin tidak seberapa pemberian saya tetapi diharapkan sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka,” katanya.

Tambah Cik Syahrina, majoriti pelanggan di gerainya gemarkan perisa coklat dan jagung yang paling laris setiap hari, lapor Astro Awani.

Menurut bekas kakitangan di sebuah butik terkemuka, gerainya beroperasi setiap hari kecuali Selasa.

Dalam pada itu, harga apam balik ‘Tampin 3’ bermula dari RM4 (S$1.20) hingga RM10 (S$3.05) dengan pelbagai perisa istimewa antaranya kacang, jagung, coklat dan keju.

Perniagaan yang diwarisi daripada abang iparnya sejak 11 tahun lalu itu turut menerima pengunjung yang datang dari jauh, menurut Astro Awani.

“Memandangkan Tampin tidak berapa jauh dari pusat percutian A'Famosa, Melaka ada juga pengunjung dari Kuala Lumpur dan utara termasuk Singapura yang singgah ke gerai."

“Walaupun bukan selalu, syukur dapat juga jamu pengunjung yang datang dari jauh,” katanya.

Selain menghasilkan sendiri kacang kisar yang ditabur di atas apam balik, ibu tiga anak itu turut menjual apam balik sejuk beku yang tahan lama dan masih lembut dimakan.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan