Skip to main content

Dunia

Peniaga berharap deretan kedai terbakar di Pasar Dato Keramat dibangunkan semula

Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat memohon pihak berkaitan membina semula deretan kedai yang terbakar di Pasar Dato Keramat pada Rabu (17 Mac), dengan kadar segera. 

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga berharap deretan kedai terbakar di Pasar Dato Keramat dibangunkan semula

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Mar 2021 07:56AM Dikemas Kini : 19 Mar 2021 09:17AM

KUALA LUMPUR: Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat memohon pihak berkaitan membina semula deretan kedai yang terbakar di Pasar Dato Keramat pada Rabu (17 Mac), dengan kadar segera. 

Pengerusinya Mohamed Tarmizi Mohamed Akil berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mencari jalan penyelesaian secepat mungkin kerana lokasinya yang strategik membantu perniagaan yang menjadi mata pencarian utama mereka.

"Kami mahu tapak ini dinaik taraf, bangunan lama dirobohkan dan didirikan dengan bangunan baru di tapak asal dalam kadar segera.

"Kali terakhir dinaik taraf adalah setahun lalu, bahkan usia bangunan ini juga sudah lebih 50 tahun dan telah sampai masanya dibangunkan semula secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan peniaga yang terlibat dalam insiden kebakaran tersebut pada Khamis (18 Mac).

Pada Rabu, lebih 40 gerai di Pasar Dato Keramat terbakar dalam kejadian petang Rabu namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Mohamed Tarmizi berkata semua peniaga yang terlibat juga berharap dapat kekal berniaga di lokasi berkenaan kerana pasar itu telah dikenali di ibu kota selain didominasi sepenuhnya oleh peniaga Melayu.

Sementara itu, Mohamed Tarmizi berkata semua peniaga telah diberikan borang untuk bancian dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. 

"Kami sedang giat mendapatkan maklumat daripada mangsa yang terlibat untuk diserahkan kepada DBKL," katanya. 

Peniaga nasi campur, Saadom Mat Takir, 70, berharap kawasan tersebut dapat dibangunkan semula bagi memelihara warisan perniagaan antara yang terawal bertapak di Kuala Lumpur.

"Lokasi ini adalah tapak ikonik bagi penjaja kecil Melayu dan antara yang popular di Kuala Lumpur, sedih kalau kawasan ini tenggelam, saya harap ia dikekalkan (untuk berniaga), " katanya.

Turut senada, peniaga nasi ayam kukus berempah, Fitri Yanti Juhari, 55, yang berharap untuk memulakan perniagaannya secepat mungkin. 

"Kalau lambat sangat proses membangunkan semula, nampaknya saya terpaksa pacak khemah bagi meneruskan perniagaan. 

"Ini sahajalah mata pencarian kami, apa-apapun segala bil masih perlu dibayar," katanya yang kerugian lebih RM30,000 (S$9,786) akibat kedainya musnah dijilat api. 

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menerusi Twitter rasminya berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi pada Isnin depan (22 Mac) bagi membantu peniaga terbabit.

Menerusi platform sama, Annuar juga memaklumkan akan membantu peniaga mewujudkan lokasi perniagaan dengan segera.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita