Peniaga bazar Ramadan di M'sia harap boleh terus beroperasi
Peniaga tepi jalan Ilyas Muhammad menjual apam balik di bazar Ramadan secara tahunan di Kelana Jaya, Selangor hampir setiap tahun sejak 1999.

(Gambar: CNA)
KUALA LUMPUR: Peniaga tepi jalan Ilyas Muhammad menjual apam balik di bazar Ramadan secara tahunan di Kelana Jaya, Selangor hampir setiap tahun sejak 1999.
Satu pengecualian adalah pada 2020, apabila pandemik COVID-19 menyebabkan bazar-bazar dilarang beroperasi di seluruh Malaysia.

Namun tahun ini, bazar-bazar dibenarkan beroperasi di kebanyakan kawasan di Malaysia dan para peniaga seperti Ilyas mengalu-alukan langkah itu.
"Saya berterima kasih kerana dapat kembali tahun ini, ia adalah sumber pendapatan yang penting bagi saya," kata Ilyas.
"Ramadan tidak terasa seperi Ramadan tanpa bazar, dan jika kita terus komited dalam mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung penularan COVID-19, saya tidak lihat mengapa ia tidak boleh diteruskan," katanya yang berusia 37 tahun.
Sudah lebih seminggu dalam bulan puasa, timbul keprihatinan bahawa bazar-bazar Ramadan mungkin menyebabkan situasi COVID-19 bertambah buruk.
Gambar para pengunjung bersesak-sesak di bazar Ramadan menjadi tular di media sosial dan ia mencetuskan kebimbangan bahawa keputusan untuk membenarkan bazar dibuka semula mungkin menyebabkan kes melonjak.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan lebih daripada 2,000 kes sehari, iaitu lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2020 apabila jumlah kes pada kebanyakan hari mencatat hanya dua angka.
Pada Khamis (22 Apr), Malaysia mencatatkan 2,875 kes baru dan tujuh kematian, menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 384,688 dan angka kematian sebanyak 1,407.
Meskipun begitu, para peniaga bazar di Klang Valley yang diwawancara Mediacorp menegaskan bahawa jika para pengunjung dan peniaga mematuhi SOP, ia selamat untuk bazar-bazar terus beroperasi sepanjang bulan Ramadan.
PROTOKOL DILAKSANAKAN
"Saya takut dijangkiti jadi apa-apa pun kita semua perlu menjaga diri dan mematuhi SOP," kata Ilyas.
"Setiap orang perlu memakai pelitup, (pengunjung mesti) mengimbas kod QR di setiap kedai yang mereka kunjungi dan para penjual memakai sarung tangan apabila mengendalikan makanan. Sejauh ini, tiada masalah dan semua orang mematuhi peraturan."
Apabila Mediacorp mengunjungi bazar itu, para pengunjung kelihatan sedang beratur menunggu giliran untuk masuk kerana terdapat kuota yang menghadkan jumlah pengunjung yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Sebelum masuk, setiap pengunjung perlu mengimbas kod kemasukan QR menggunakan aplikasi MySejahtera, mengimbas suhu badan dan mengambil teg nombor.
Meskipun papan tanda dan pita penanda menunjukkan arah pergerakan manusia sesetengah oerang kelihatan berdiri dekat antara satu sama lain dan tidak mematuhi jarak selamat, terutama sekali ketika beratur di gerai-gerai yang lebih popular.
AMARAN, PENUTUPAN SEMENTARA JIKA TIDAK PATUH ARAHAN
Bagi bazar-bazar yang mana protokol kesihatan tidak dipatuhi, kerajaan memberi amaran bahawa mereka akan diminta untuk menutup operasi.
Pada minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata dalam satu kenyataan bahawa mana-mana daripada 66 bazar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan ditutup jika penularan COVID-19 berlaku disebabkan oleh SOP yang tidak dipatuhi termasuk penjarakan selamat.
Kelantan dan Sabah melarang pembukaan bazar-bazar Ramadan tahun ini ekoran peningkatan kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.