Peniaga bazar Ramadan di Johor ini sumbang sebahagian daripada hasil jualan kepada pertubuhan amal
Sebahagian daripada hasil jualan Roti John dan laksa sempena Ramadan akan disalurkan kepada sumbangan amal, satu inisiatif murni yang diteruskan oleh penjual Roti John Muafakat sejak memulakan perniagaan pada 2017.

Encik Wahyu Hidayat Jaapar (kiri) memulakan perniagaannya pada 2017. (Gambar: Bernama)
Pengusahanya, Wahyu Hidayat Jaapar berkata bagi jualan roti John, sebanyak RM1.50 (S$0.45) akan disalurkan, manakala untuk laksa, sebanyak RM1 (S$0.30) pula akan disumbangkan bagi setiap bungkus yang terjual.
Beliau yang juga merupakan pengasas Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat berkata sumbangan tersebut akan disalurkan ke pertubuhan itu, selain digunakan sebagai bantuan bagi golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.
“Alhamdulillah … setelah lebih seminggu kita berniaga pada bulan puasa tahun ini, jualan kedua-dua menu berbuka puasa berkenaan mendapat sambutan menggalakkan, setiap hari roti John yang dijual melebihi 80 biji serta laksa pula sekitar 70 bungkus.
“Untuk roti John kita mempunyai empat jenis iaitu ayam, daging lembu, daging kambing dan roti John kahwin (campuran ayam dan daging lembu) serta laksa yang dijual pula ialah laksa Penang,” kata Encik Wahyu kepada Bernama di gerainya, di Taman Bistari Tongkang Pechah pada Selasa (11 Mac).
Encik Wahyu turut berkata semenjak berniaga roti berkenaan, beliau tidak pernah menaikkan harga jualan. Roti John kekal dijual pada harga RM7 (S$2.10) dan laksa yang kali pertama dijual pada Ramadan 2025 juga dijual pada harga yang sama.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang membeli roti John dan laksa di sini. Selain membeli, orang ramai juga berpeluang bersama-sama untuk melakukan kerja amal dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Insya-Allah … setelah lapan tahun saya berniaga dan melaksanakan kerja amal ini, selagi saya masih mampu usaha ini akan diteruskan pada Ramadan akan datang,” kata beliau.
Sementara itu, Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk membawa jenazah dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat dan hospital berhampiran ke lokasi yang diminta waris si mati di seluruh Semenanjung.
Pertubuhan tersebut juga melaksanakan proses pengurusan jenazah (mandi dan kafan) secara percuma. Perkhidmatan itu dilaksanakan untuk meringankan beban waris, terutamanya daripada golongan asnaf serta yang kurang berkemampuan.
Selain bulan Ramadan, pembeli juga berpeluang membeli sambil beramal dengan membeli burger yang dikenali sebagai Burger Muafakat 4All di lokasi yang sama dengan sebahagian hasil jualan setiap burger turut disalur ke tabung yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.