Peniaga ayam, telur M'sia dikompaun; gagal patuh Skim Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur

(Gambar: Bernama)
KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM256,800 (S$ 80,540) kompaun dikenakan terhadap peruncit, pemborong dan penternak di seluruh Malaysia kerana gagal mematuhi Skim Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur yang dikuatkuasakan sejak 5 Februari.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Rosol Wahid berkata ia melibatkan 1,034 kes merangkumi pelbagai kesalahan termasuk menjual melebihi harga siling, tidak meletakkan tanda harga dan gagal meletakkan tanda harga khas seperti diarahkan.
Selain itu, sebanyak 1,033 barangan perniagaan berjumlah RM133,000 (S$41,710) turut disita.
"Sehingga Sabtu (28 Mei) kami sudah melakukan pemeriksaan di 66,375 premis termasuk peruncit, kedai borong dan pengeluar di ladang," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kuala Terengganu semalam (29 Mei).
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 41 kes dikenakan tindakan atas kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, menjual melebihi harga siling (111 kes) dan tidak meletakkan tanda harga khas (882 kes).
Encik Rosol berkata pihak KPDNHEP meningkatkan pemantauan di premis-premis tertentu bagi mengesan peniaga degil dan melanggar peraturan skim berkenaan.
"Kita lihat memang trend iaitu dalam tempoh seminggu dua sebelum berakhirnya skim kawalan, harga ayam atau makanan akan naik dan ia perlu dikawal," kata beliau sambil memberi jaminan tidak berlaku kekurangan bekalan makanan pada musim Hari Raya Aidiladha akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.