Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengusaha serunding tidak menang tangan penuhi permintaan pelanggan jelang Aidilfitri

Setiap kali tiba bulan Ramadan, para pengusaha serunding di Kelantan biasanya tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan yang mahukan hidangan itu sebagai juadah istimewa bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengusaha serunding tidak menang tangan penuhi permintaan pelanggan jelang Aidilfitri

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 May 2019 06:36PM Dikemas Kini : 10 May 2019 06:37PM

TUMPAT: Setiap kali tiba bulan Ramadan, para pengusaha serunding di Kelantan biasanya tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan yang mahukan hidangan itu sebagai juadah istimewa bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Serunding, atau turut dikenali sebagai "sambal daging" di Kelantan, adalah hidangan amat popular, malah digemari oleh seluruh penduduk Malaysia kerana amat sesuai dimakan dengan ketupat dan lemang, terutama sekali semasa sambutan Hari Raya.

Bagi pengemar serunding, kawasan sekitar Kampung Laut adalah kawasan pengeluar serunding paling popular dan sudah terkenal sejak beberapa dekad yang lalu, dan salah satu daripadanya adalah RS Serunding yang terletak di Taman Warisan.

Diasaskan pada tahun 1985, Ramlah Salleh (RS) Serunding adalah antara jenama terkenal pengusaha serunding di Kampung Laut, Kelantan.

Menurut pengusaha, Zulhimidatuldaiah Mohd Shahimi, RS Serunding adalah perusahaan yang diasaskan oleh ibu mentuanya tetapi kini diteruskan oleh beliau dan suaminya, Mohd Farhan Ramli, dan dibantu oleh sanak saudara yang lain.

Beliau berkata perusahaan itu sebenarnya bermula pada 1985 di sebuah bangunan yang terletak di tepi Sungai Kelantan dekat Kampung Laut.

"Sesuai dengan peredaran masa, kilang dan kedai RS Serunding kini beroperasi di kawasan penempatan semula penduduk yang dipindahkan dari tepi Sungai Kelantan apabila kerajaan membangunkan kawasan itu untuk pelancongan.

"Di tempat baru sebenarnya memberi rahmat lebih besar kepada RS Serunding kerana tempat sekarang berhampiran dengan jalan utama Palekbang - Kampung Laut, yang mudah dilihat pengguna jalan raya yang lalu lalang di kawasan itu," katanya.

Jelasnya, RS Serunding mementingkan kualiti dan citarasa asli serunding yang dihasilkan adalah berasaskan santan, bawang, halia dan ketumbar.

"Jenis serunding yang dihasilkan ialah serunding daging (daging tempatan dan import), serunding ikan dan serunding ayam yang mempunyai rasa dan aroma yang berlainan,” katanya.

"Permintaan terhadap produk RS Serunding memang tinggi, terutama pada masa bulan puasa dan perayaan. Buat masa sekarang, kami sudah tidak menerima tempahan kerana mahu menyiapkan tempahan awal yang diterima sebelum Ramadan lagi," katanya.

"Proses membuat serunding memang memenatkan walaupun kini ramai yang menggunakan mesin berbanding mengacau.

"Bagi 20 kg daging biasanya masa diperlukan adalah selama dua jam. Bila sudah masak biasanya akan disejukkan selama sejam dan dipaketkan. Bagi sekilogram serunding daging tempatan kami menjualnya dengan harga RM60 (S$20), daging import (RM50/S$16.40), ayam (RM50/S$16.40), dan ikan (RM40/S$13)," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan