Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengusaha hotel dilarang buat iklan bufet Ramadan jika tiada sijil halal

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengingatkan pengusaha hotel atau premis makanan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya jangan membuat pengiklanan bufet Ramadan menggunakan perkataan yang mengelirukan umat Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengusaha hotel dilarang buat iklan bufet Ramadan jika tiada sijil halal

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Apr 2022 07:28PM Dikemas Kini : 04 Apr 2022 07:28PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengingatkan pengusaha hotel atau premis makanan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya jangan membuat pengiklanan bufet Ramadan menggunakan perkataan yang mengelirukan umat Islam.

Pengarah JAIM Che Sukri Che Mat berkata antara perkataan atau frasa yang dilarang digunakan dalam medium pengiklanan mereka adalah bufet Ramadan, iftar Ramadan, jom iftar, cita rasa Ramadan, jom berbuka, set Ramadan, ditanggung halal dan dijamin halal.

Beliau berkata frasa berkenaan dilarang digunakan dalam iklan bufet Ramadan seperti pada risalah, poster, kain rentang papan iklan, media massa atau media sosial.

“Memang bukan satu kewajipan untuk hotel atau premis makanan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, tetapi tidak boleh menggunakan frasa yang telah ditetapkan dalam iklan bufet Ramadan mereka kerana ia disifatkan sebagai tindakan memperdayakan pengguna.

“Justeru, JAIM akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjalankan pemeriksaan ke atas hotel dan premis makanan di sekitar negeri itu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Operasi 'Plastik Hitam Bersendawa' di sekitar daerah Melaka Tengah di Melaka semalam (3 Apr).

Setakat ini, katanya lagi, hanya 14 hotel di Melaka mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan dibenarkan menggunakan frasa tersebut dalam pengiklanan bufet Ramadan mereka.

Menurutnya lagi, hotel atau premis makanan yang tidak mempunyai sijil pengesahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

Dalam perkembangan lain, Che Sukri berkata 80 lokasi di sekitar negeri Melaka melibatkan kedai makanan dan minuman serta premis kosong dikenal pasti menjadi tumpuan 'geng plastik hitam' untuk membeli atau menikmati makanan.

Beliau berkata, untuk itu Pegawai Penguatkuasaan Agama JAIM akan meningkatkan operasi penguatkuasaan, termasuk menerusi kaedah penyamaran bagi mengesan kaki ponteng puasa yang makan atau membeli makanan secara terbuka.

“Selain itu, kita juga mempunyai cabaran baru untuk mengesan ‘geng plastik hitam’ ini kerana mereka kini boleh membeli makanan menerusi penghantaran seperti Grab Food dan Food Panda. Justeru, penghantar makanan yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ponteng puasa boleh menyalurkannya kepada JAIM,” katanya.

Che Sukri berkata peniaga juga diingatkan supaya jangan menjual makanan atau minuman kepada orang Islam yang tidak berpuasa di negeri tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Katanya lagi, tindakan di bawah seksyen sama juga boleh dikenakan pada kaki ponteng puasa kerana makan, minum dan membeli makanan secara terbuka, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.
 

Sumber : Bernama/AW/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa