Skip to main content

Dunia

Pengurusan tangani bencana di ibu kota pada tahap baik, kata Agensi keselamatan M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurusan tangani bencana di ibu kota pada tahap baik, kata Agensi keselamatan M'sia

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 11 Dec 2022 10:16AM Dikemas Kini : 11 Dec 2022 10:17AM
KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan dan kerjasama agensi keselamatan Malaysia di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana di ibu kota berada pada tahap yang baik, namun masih ada ruang penambahbaikan yang boleh diberi perhatian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata perkara itu perlu dipertimbangkan oleh setiap ketua agensi keselamatan terutamanya terhadap aspek tindak balas penyaluran bantuan kepada mangsa bencana.

“Diharapkan selepas ini ketua agensi akan menilai dan tambah baik supaya apabila berlaku bencana di Kuala Lumpur, kita semua lebih bersedia dan dapat bergerak sebagai satu kumpulan dalam memberi bantuan dan manfaat lebih besar kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu setiap satu (agensi keselamatan) bergerak secara solo, sebaliknya beri bantuan kepada mangsa di Kuala Lumpur secara satu kumpulan bagi memenuhi keperluan MKN 20,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri Simulasi Banjir (Field Training Exercise - FTX) MKN 20 Siri 1/2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Kampung Periuk, di Kuala Lumpur pada Sabtu (10 Dis).

Sementara itu, Encik Azmi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 25 lokasi hotspot banjir kilat di ibu negara buat masa ini.

“Kita semua sedia maklum biasanya pada bulan Disember dan Januari akan berlaku banjir kilat di ibu kota yang mana airnya cepat naik dan surut berpunca daripada isu perparitan dan longkang tersumbat.

“Menerusi simulasi ini juga, diharapkan selepas ini kita dapat tambah baik prasarana di lokasi-lokasi tersebut supaya bilangannya (hotspot) dapat dikurangkan demi kemaslahatan rakyat,” katanya.

Pada Sabtu, PDRM bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah melaksanakan program simulasi banjir bertujuan bagi meningkatkan tahap kefahaman dan keupayaan setiap agensi dalam aspek pengurusan bencana.

Seramai 350 peserta daripada 23 agensi kerajaan, privet dan pertubuhan bukan kerajaan menjayakan simulasi tersebut yang dijalankan di tiga lokasi iaitu di Kampung Periuk, Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah dan Dewan Sultan Sulaiman.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita