Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengurusan kes rayuan Rosmah pada 5 Okt

Rayuan Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion (S$390 juta) melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, ditetapkan bagi pengurusan kes pada 5 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Rayuan Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion (S$390 juta) melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, ditetapkan bagi pengurusan kes pada 5 Oktober.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cik Rosmah mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Pengurusan kes itu akan didengar di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Pada 1 September, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta (S$303 juta) ke atas Cik Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana hakim mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Cik Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta (S$58 juta) dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2 juta) daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Cik Rosmah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu pada 2 September lalu.

Menurut notis rayuan, Cik Rosmah tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan hakim dan ingin merayu terhadap keputusan tersebut.

Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.

Hakim Mohamed Zaini, dalam penghakimannya antara lain, memutuskan bahawa pembelaan Cik Rosmah hanya penafian semata-mata dan wang RM6.5 juta memang untuknya dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan