Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengurusan kes rasuah Ahmad Zahid bagi rayuan ditetapkan pada 17 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) ditetapkan untuk satu lagi pengurusan kes pada 17 Februari ini.

Tarikh pengurusan kes baru itu disahkan oleh sumber ketika dihubungi.

Pengurusan kes bagi rayuan itu didengar pada Selasa (10 Dis) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 26 September tahun lalu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Pada 23 September 2022, Hakim Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69 tahun, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Ahmad Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai S$1,150,000; RM3.125 juta (S$950,000); 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 (S$20,000) daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Dalam petisyen rayuan difailkan 29 Disember lalu, pendakwa raya selaku perayu mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Mohd Yazid terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan