Pengurusan kes bagi tuntut harta Najib ditunda
Pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada Najib Razak, isterinya, serta 16 pihak lain, boleh hadir di Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes itu pada 14 Dis.
Mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, serta 16 pihak lain, boleh hadir di Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes itu pada 14 Dis.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata, sepatutnya pada Rabu (11 Nov) ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bagi kehadiran mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut harta sitaan kes itu.
Namun pengurusan kes ditangguhkan ke tarikh baru berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Pihak kami dimaklumkan oleh mahkamah mengenai tarikh baharu pengurusan kes itu semalam," katanya yang turut memaklumkan warta notis kepada pihak ketiga dikeluarkan sekali lagi oleh mahkamah selepas pendakwaan meminda notis usul berhubung pelucutan hak berkenaan.
Permohonan pengeluaran notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan, untuk membolehkan pihak ketiga hadir di mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab, mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Pihak pendakwaan sebelum ini menfailkan notis usul bagi memohon untuk melucut hak terhadap harta-harta tersebut dan menamakan Najib; Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isterinya Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.
BARANG-BARANG DIRAMPAS
Antara barangan yang disita itu adalah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000 (S$176,000), Pound Sterling 2,700 (S$4,800), Rupee Sri Lanka 2,870,000 (S$21,000), wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 (S$61,000), Pound Sterling 320,500 (S$573,000), Rupiah 13,177,00 (S$126) dan AS$100 (S$135) serta Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.
Barangan lain yang disita pada tarikh sama adalah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.
Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah Pulau Pinang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.