Skip to main content

Dunia

Pengunjung cemas apabila awan hitam, ribut badai pantai di Kelantan

Anggaran Waktu Membaca:

TUMPAT: Kawasan Pantai Geting di Tumpat, Kelantan yang turut menjadi lokasi penganjuran Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dilanda ribut pada Sabtu malam (6 Ogos). 

Keadaan itu menimbulkan suasana cemas dalam kalangan pengunjung serta peserta program terbabit, dengan beberapa khemah turut diterbangkan angin, selain satu khemah bersaiz besar turut ranap, lapor agensi berita BH Online.

Ribut yang berlaku kira-kira pukul 7.00 malam itu turut menyebabkan pengunjung lari mencari kawasan perlindungan selamat bagi mengelak sebarang kecederaan.

BH Online difahamkan, persembahan dikir barat yang menjadi acara kemuncak program di Pantai Geting itu juga terpaksa dibatalkan, malah beberapa hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal yang sepatutnya diumumkan pada Sabtu malam (6 Ogos) turut tergendala.

Seorang peniaga air, Wan Sapiah Wan Yusoff, 43 tahun berkata, selepas menyedari cuaca tiba-tiba berubah menjadi kelam dan mendung seolah-olah hendak hujan, beliau segera mengemas semua peralatan menjual air balangnya.

"Saya segera kemaskan barang kerana risau melihatkan awan hitam yang luar biasa kerana bimbang akan berlaku ribut kencang.

"Sebaik selesai mengemas, kepala angin datang dari arah pantai menuju daratan dan menerbangkan semua termasuk khemah yang terpasang.

"Keadaan menjadi huru-hara kerana orang ramai panik sambil berlari menyelamatkan diri dan nasib baik ketika itu pengunjung sudah tidak ramai," katanya ketika dihubungi BH Online.

Cik Wan Siapah turut berkata, ribut kencang disusuli dengan hujan lebat itu berlaku hampir setengah jam sebelum keadaan kembali tenang.

Katanya lagi, sejurus itu, kelihatan petugas program dan pekerja berkaitan segera mengemas segala peralatan termasuk menanggalkan khemah walaupun sudah koyak.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Aizat, 30 tahun berkata, ketika kejadian itu, beliau dan isteri serta anak mereka berjalan ke kereta kerana ingin pulang selepas beriadah di pantai itu.

"Melihatkan keadaan awan yang mendung seakan ingin hujan, kami segera bersiap untuk pulang dan ketika hampir tiba di kereta, angin kuat datang tiba-tiba dan situasi nampak kelam kabut.

"Kami terus masuk ke dalam kereta, namun tidak berani meneruskan perjalanan kerana risau ditimpa pokok atau sebagainya sebaliknya terus menunggu sehingga keadaan perlahan-lahan reda," katanya kepada BH Online.

Awal dari itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid merasmikan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat di kawasan pantai tersebut.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita