Pengunduran tentera Amerika dari Eropah tidak akan jejas pertahanan NATO
Pegawai tertinggi NATO Jeneral Alexus Grynkewich hadiri sidang akhbar di ibu pejabat NATO, 22 Jan 2026. (Gambar: REUTERS/Geert Vanden Wijngaert)
Beliau juga mengingatkan bahawa lebih banyak pengunduran tentera akan berlaku pada masa hadapan.
"Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini tidak akan menjejaskan rancangan pertahanan kami," kata Jeneral Amerika Syarikat Alexus Grynkewich, Panglima Tertinggi NATO di Eropah, kepada pihak media.
"Apabila negara-negara sekutu meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing, Amerika Syarikat boleh mengurangkan tenteranya di sini untuk digunakan bagi tujuan penting lain di peringkat global. Lantaran itu, saya sangat berpuas hati dengan situasi sekarang," tambahnya.
Tindakan mengejut Washington itu berlaku selepas tercetus pertengkaran antara Encik Trump dan Canselor Jerman Friedrich Merz mengenai perang di Iran, yang membuatkan negara-negara sekutu lain terkejut.
Bagaimanapun, pentadbiran Presiden Trump sudah lama memaklumkan negara-negara Eropah bahawa Amerika Syarikat mahu mengurangkan tenteranya di sana untuk memberikan tumpuan kepada ancaman lain di seluruh dunia.
"Kita perlu bersedia untuk melihat pengunduran tentera Amerika Syarikat dari semasa ke semasa setelah negara-negara sekutu meningkatkan kemampuan mereka," kata Encik Grynkewich.
"Saya tidak dapat memberikan tempoh yang tepat, tetapi proses ini akan dijalankan selama beberapa tahun."
Walaupun negara-negara Eropah dalam NATO cuba meredakan kebimbangan tentang kesan pengunduran tentera Amerika Syarikat, cara pengumuman yang dibuat secara tiba-tiba meningkatkan kerisauan tentang komitmen Encik Trump terhadap pakatan tersebut.
Encik Trump sebelum ini pernah mengkritik Eropah tentang cara mereka bertindak balas terhadap perangnya dengan Iran, dan berulang kali mengancam akan mengundurkan diri dari NATO.
Eropah akan cuba memulihkan hubungan yang tegang ini dalam satu mesyuarat menteri luar NATO di Sweden lewat minggu ini, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio.
Pakatan itu kini sedang bersiap sedia untuk mengadakan sidang puncak bersama Encik Trump di Turki pada Julai. Dalam sidang itu, mereka mahu menunjukkan peningkatan pada perbelanjaan pertahanan Eropah demi memastikan pemimpin Amerika Syarikat itu berpuas hati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.