Pengundian awal PRK Port Dickson bermula esok
Seramai 7,268 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan keluar mengundi esok.
Anwar Ibrahim di Port Dickson jelang PRK Port Dickson. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
PORT DICKSON: Seramai 7,268 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan keluar mengundi esok.
Daripada jumlah itu, 6,690 pemilih adalah dalam kalangan anggota tentera dan pasangan mereka manakala 578 adalah anggota polis.
Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson Khairy Maamor berkata kesemua tiga pusat pengundian awal yang membabitkan 13 saluran mengundi akan dibuka mulai 8.00 pagi sehingga 5.30 petang.
“Bagaimanapun tiga saluran di IPD Port Port Dickson iaitu khemah A, B dan C akan ditutup awal pada jam 12.00 tengah hari kerana kekurangan jumlah pengundi,” kata Encik Khairy.
Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan dan pemerhati-pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.
PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Encik Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun, pada 12 September lalu bagi membolehkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14, Encik Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (PKR)
SPR menetapkan Sabtu (13 Okt) sebagai hari mengundi.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi bagi PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan kaum-kaum lain (dua peratus).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.