Skip to main content

Dunia

Pengundian awal Pilihan raya Presiden Korea Selatan bermula di tengah lonjakan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Pengundian awal Pilihan raya Presiden Korea Selatan bermula di tengah lonjakan COVID-19

Orang ramai membuat undian semasa pengundian awal untuk pilihan raya presiden di Seoul. (Gambar: Jung Yeon-je / AFP)

Diterbitkan : 04 Mar 2022 01:52PM

SEOUL: Korea Selatan mengundi memilih Presiden baru negara itu di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19.

Sebanyak 266,853 kes baru COVID-19 dan 186 lagi kematian dilaporkan pada Khamis (3 Mac) iaitu jumlah tertinggi dalam satu hari.

Dalam keadaan penularan COVID-19 yang masih pesat, Korea Selatan mula menjalankan pengundian awal Pilihan Raya Presiden pada Jumaat (4 Mac) bagi pesakit COVID-19 atau mereka yang sedang menjalani kuarantin. Sehingga sejuta pengundi termasuk dalam kumpulan pengundi awal itu.

Bagaimanapun pengundi lain juga boleh membuat pilihan mereka sepanjang dua hari ini sebelum Hari Mengundi pada Rabu depan.

Pekerja pilihan raya ditempatkan di stesen mengundi, lengkap menggunakan peralatan perlindungan diri dan cermin mata keselamatan.

Pengundi yang positif COVID-19 atau terdedah kepada virus itu perlu membersihkan tangan mereka dengan cecair pembasmi kuman dan memakai sarung tangan sebelum membuat undian, menurut suruhanjaya pilihan raya kebangsaan.

Dengan lebih 800,000 penduduk kini menjalani rawatan di rumah dan hampir 800 di unit rawatan rapi, pemerintah dan pegawai kesihatan berusaha untuk menampung pengundi yang dijangkiti koronavirus, termasuk menyemak semula undang-undang pilihan raya bulan lalu.

Mereka yang dijangkiti COVID-19 atau sedang menjalani kuarantin boleh berjalan masuk atau menaiki teksi atau ambulans yang disediakan pejabat tempatan untuk ke pusat mengundi.

Mereka juga diberi masa satu jam pada penghujung hari kedua pengundian awal dan satu setengah jam pada hari terakhir Rabu depan (9 Mac) untuk membuat undian.

Korea Selatan sebelum ini berjaya membendung penularan dan lonjakan jangkitan dengan mengadakan ujian agresif dan jejak kontak.

Meskipun pengurusan pandemik negara bukan fokus utama kempen, lonjakan kes disebabkan varian omicron pada minggu lalu menjejaskan proses mengundi calon berikutan lonjakan kes ke paras tertinggi.

Pengundi Korea Selatan akan memilih pengganti Presiden Moon Jae-in, yang tidak boleh bertanding lagi kerana had penggal pemerintahan.

Calon berfaham konservatif, Yoon Suk-yeol mendapat kelebihan dan Lee Jae-myung dari parti berfaham liberal pimpinan Presiden Moon.

Persaingan sengit melibatkan calon berfaham konservatif, Yoon Suk-yeol dan Lee Jae-myung dari parti berfaham liberal pimpinan Presiden Moon.

Yoon Suk-yeol mendapat kelebihan apabila seorang rakan konservatif menarik diri semalam dan memberikan sokongannya kepada Yoon.

Calon konservatif itu juga yang mendorong mereka yang dijangkiti COVID-19 atau sedang menjalani kuarantin supaya keluar mengundi, dengan mengatakan kumpulan itu mewakili sebahagian daripada lebih 40 juta pengundi yang layak.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita