Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengundi Perak pilih calon yang boleh tangani isu kenaikan harga barang

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Para pengundi di bandar Ipoh berharap kerajaan negeri dan anggota parlimen yang dipilih nanti akan dapat menangani isu kenaikan harga barangan.

Keluhan tentangnya oleh para pelanggan semakin sering didengari seorang peniaga barangan dapur, Encik Muhammad Ramli Idris sejak kebelakangan ini.

Meskipun kadar inflasi yang dicatatkan Malaysia pada Ogos lalu hanya 4.7 peratus, harga sesetengah barangan asas yang dijualnya melambung tinggi sehingga 15 peratus.

Menurut Encik Ramli yang sudah berniaga selama 26 tahun di Pasar Tanjung Rambutan di Tambun, ia disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan keadaan cuaca.

"Barang-barang itu kalau banjir, baru masalah. Tidak, dia tak ada masalah. Biasanya (bawang), satu lapan, dua ringgit setengah dahulu, sekarang empat ringgit , lima ringgit tapi ada masa-masa kalau banjir tak ada barang kadang sampai 10 ringgit pun ada," jelas Encik Ramli.
Masalah sedemikian yang diharapkan para penduduk Ipoh dapat diselesaikan para calon yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

"Susahlah barang sudah naik kan? Sebab dulu belanja 50 ringgit banyak dapat, sekarang dapat apa sahaja," kata seorang penduduk, Encik Rahim.

Hal itu turut diakui seorang suri rumah warga emas, Cik Chom, "Ayam pun seekor kadang RM15, 20, tengok besar lah, ikan kembung pun, sayur pun mahal"

Isu ini lebih genting lagi bagi golongan B40, iaitu yang berpendapatan rendah.
B40 merujuk kepada golongan isi rumah yang meraih pendapatan sebanyak RM4,850 sebulan dan ke bawah.

Akibat COVID-19 dan keadaan ekonomi, lebih setengah juta isi rumah di Malaysia dalam golongan pertengahan M40 (pendapatan isi rumah RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan) beralih kepada B40.

Berbaki empat hari sahaja lagi sebelum hari mengundi pada Sabtu (19 Nov), para penduduk kini perlu memilih calon mana yang mungkin dapat menghuraikan semua masalah itu seperti yang dijanjikan dalam manifesto gabungan parti masing-masing.
Selain menangani kos sara hidup yang tinggi, para penduduk di Ipoh juga berharap para calon yang menang dalam PRU ini dapat menjaga kemakmuran negeri Perak Darul Ridzuan.

Seperti mercu tanda ikonik bandar Ipoh iaitu pancuran air di Bulatan Sultan Yussuf yang menjadi penghubung empat jalan utama di Ipoh, kerajaan negeri yang bakal dibentuk diharap dapat mengukuhkan kembali perpaduan penduduk selepas PRU nanti

Dalam PRU ini, Perak merupakan antara tiga negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri serentak.

Sebanyak 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi parlimen menjadi taruhan di Perak.

Antara kerusi panas termasuklah Tambun yang menyaksikan persaingan antara pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim dengan penyandangnya, Ahmad Faizal Azumu.

Ini selain kerusi Bagan Datuk yang akan cuba dipertahankan pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan