Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengundi muda mungkin bawa kesan besar dalam PRN Johor: Pengamat

Golongan belia berusia 18 tahun di Johor kini boleh mengundi buat pertama kali pada Ahad nanti (12 Mac) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengundi muda mungkin bawa kesan besar dalam PRN Johor: Pengamat

Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: BERNAMA)

JOHOR: Golongan belia berusia 18 tahun di Johor kini boleh mengundi buat pertama kali pada Ahad nanti (12 Mac) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun begitu, ada pihak yang prihatin bahawa golongan berkenaan belum bersedia membuat keputusan yang akan mempunyai kesan besar ke atas negeri itu.

Antara mereka yang amat ghairah untuk mengundi buat pertama kali nanti ialah Syafiq Supaizam.

Pelajar tahun pertama di sebuah universiti tempatan di Johor itu, prihatin tentang keadaan ekonomi yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.

Seperti rakan sebayanya, Syafiq mahu masa depan yang terjamin dan stabil.

Beliau berkata: "Apabila kami tamat pengajian nanti, kami menghadapi isu-isu pekerjaan, gaji minimum dan sebagainya, yang melibatkan pelibatan orang politik yang merangka dasar ini untuk kami, mahasiswa.

"Oleh itu, kerajaan ataupun parti yang dipilih oleh rakyat harus mementingkan agenda kebajikan dan juga anak muda sendiri."

HAMPIR 750,000 PENGUNDI BARU DALAM PRN JOHOR

PRN Johor adalah pilihan raya pertama di seberang tambak yang menampilkan pengundi semuda 18 tahun menyusuli pindaan kepada perlembagaan pada 2019.

Detik bersejarah itu diraikan belia di Malaysia yang kini merasakan bahawa mereka ada suara dalam proses demokrasi negara itu.

"Anak muda mungkin lebih banyak yang digadaikan kerana mereka akan mengalami kesan keputusan dasar dibuat ahli politik dan golongan lebih tua daripada mereka.

"Jadi bagi anak muda rakyat Malaysia perkara ini amat penting dengan begitu jarang sekali peluang sedemikian datang dan ini adalah satu acara besar bagi kami mempunyai platform untuk bersuara," kongsi Pengasas Bersama UNDI18 Qyira Yusri.

Dengan menurunkan usia mengundi serta membuat proses pendaftaran menjadi automatik, ia sekali gus menambah hampir 750,000 pengundi baru dalam PRN Johor.

ANAK MUDA MUNGKIN 'KINGMAKER'

Ini menjadikan sekitar sepertiga daripada 2.6 juta pengundi secara keseluruhan berusia bawah 30 tahun.

Para pengamat politik berkata jumlah pengundi belia mungkin membawa kesan dalam pilihan raya ini.

Presiden MUDA Syed Saddiq Abdul Rahman yang juga merupakan mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia berkata: "Ini bermaksud bahawa golongan anak muda akan dijadikan 'Kingmaker' ataupun golongan penentu kepada keputusan pilihan raya.

"Saya rasa ini akan menyebabkan polar pengundian berubah di mana kita tidak lagi fokus kepada agama dan perkauman tetapi isu politik dasar dan politik khidmat."

Kesemua parti politik yang bertanding dalam PRN Johor sudah melancarkan manifesto masing-masing yang menjanjikan pekerjaan lebih baik dan meluaskan ekonomi digital sebagai usaha untuk memikat para pengundi muda.

Namun begitu, buat masa ini sukar untuk mengetahui bagaimana pengundi muda akan memilih.

Ini kerana kesetiaan mereka berubah-ubah tetapi keputusuan Pilihan Raya Negeri Johor mungkin memberi petanda corak pemilihan yang bakal berlaku di Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan