Skip to main content

Dunia

Pengundi muda Indonesia mahukan lebih daripada janji dan kempen media sosial calon presiden

Anggaran Waktu Membaca:
Pengundi muda Indonesia mahukan lebih daripada janji dan kempen media sosial calon presiden

(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)

Diterbitkan : 01 Feb 2024 10:44AM


JAKARTA: Beberapa bulan lagi sebelum menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang teknologi maklumat, Encik Bobby Hidayat sudah berasa tertekan.

Lelaki berusia 22 tahun itu gembira kerana dia tidak lagi menjadi beban kepada ibu tunggalnya yang terpaksa bertungkus lumus untuk menyara persekolahannya. Tetapi pada masa yang sama, Bobby bimbang tentang kehidupan selepas tamat pengajian.

Apa yang menantinya ialah pasaran pekerjaan yang semakin mengecil apabila pelaburan dalam bidang teknologi Indonesia merosot berikutan kelembapan ekonomi global yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik yang disebabkan oleh pilihan raya akan datang.

“Saya mahukan seorang pemimpin yang memahami masalah yang kita anak muda hadapi,” kata Bobby kepada Mediacorp, sambil menambah beliau masih tidak pasti siapa yang akan dipilih dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia akan datang pada 14 Feb.

Anak muda yang sebaya dengannya sama-sama belum membuat keputusan, sekali gus menarik perhatian kepada senarai pelbagai kriteria yang mungkin membantu mereka untuk memilih calon yang tepat.

"Isu paling penting bagi saya ialah hak wanita dan kesaksamaan jantina," kata Mirna Agustina, 24 tahun kepada Mediacorp.

"Saya mahukan seseorang yang boleh memastikan bahawa orang kaya dan berkuasa tidak dapat lari dengan melanggar undang-undang," kata Encik Adrian Putra, 27 tahun, sambil menambah bahawa dia juga mahu melihat pembaharuan dalam agensi dan institusi penguatkuasaan undang-undang.

Golongan belia Indonesia juga sedang meneliti komitmen para calon terhadap isu-isu seperti perubahan iklim, inklusiviti dan antirasuah.

Pilihan raya itu akan menyaksikan tiga calon bersaing untuk menjadi presiden ekonomi terbesar Asia Tenggara yang seterusnya: mantan Gabenor Jakarta Anies Baswedan, Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan Mantan Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.

Presiden Joko Widodo, dengan sokongan setinggi 80 peratus, dilarang oleh perlembagaan negara itu daripada bertanding bagi penggal ketiga.

Seseorang calon perlu memperolehi lebih 50 peratus undi di peringkat nasional dan 20 peratus undi di sekurang-kurangnya 19 daripada 38 wilayah Indonesia untuk memenangi Pilihan Raya Presiden.

Itulah sebabnya penganalisis berkata keupayaan untuk memenangi hati dan minda pengundi muda sangat penting.

Menurut Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (KPU), terdapat 106 juta rakyat Indonesia yang berusia antara 17 dan 40 tahun, mewakili 52 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang layak di negara itu.

Dengan begitu banyak undi untuk direbut, ketiga-tiga calon telah cuba memikat kumpulan usia ini, daripada berjanji untuk menangani isu yang mungkin mereka rasa relevan hingga ke menghasilkan strategi dan aktiviti kempen yang memenuhi keperluan pengundi muda.

Setiap calon mempunyai kaedah tersendiri. Encik Anies telah mengadakan acara online dan juga fizikal di mana pengundi muda boleh bertanya secara langsung pandangannya mengenai beberapa topik yang berbeza.

Encik Prabowo telah memilih Encik Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun, anak kepada Presiden Joko Widodo, sebagai timbalannya.

Encik Ganjar pula mengukuhkan kehadirannya di media sosial untuk memuat naik banyak aktivitinya di Instagram dan Twitter walaupun sebelum beliau dicalonkan sebagai calon presiden.

Tetapi pengundi muda sendiri berkata ini mungkin tidak mencukupi.

MEMUPUK MINDA MUDA, MENYASAR UNDI GOLONGAN MUDA

Dalam satu kajian yang dijalankan pada 2022 oleh Pusat Studi Strategis dan Internasional Indonesia (CSIS) yang berpangkalan di Jakarta, 1,200 responden berumur antara 17 dan 40 berkata kebajikan awam dan penciptaan pekerjaan adalah dua isu utama yang mereka cari dalam keutamaan calon, diikuti dengan pembasmian rasuah dan kebebasan awam.

Tetapi belia yang ditinjau juga menyuarakan minat terhadap isu-isu dunia, termasuk perubahan iklim dan peralihan tenaga.

Ketiga-tiga calon telah menjanjikan lebih banyak pekerjaan dan akses yang lebih baik kepada pendidikan bermutu serta berikrar untuk menangani perubahan iklim.

Encik Anies, sebagai contoh, berjanji untuk membangunkan bandar-bandar di seluruh negara supaya mereka semaju Jakarta, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk 15 juta rakyat Indonesia.

Related article image
(Gambar: Kumpulan kempen Anies Baswedan)

Bekas pensyarah itu juga berjanji untuk memberikan biasiswa dan subsidi kepada universiti-universiti supaya mereka dapat menurunkan yuran pengajian mereka kepada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah yang dibayar oleh para mahasiswa sekarang.

Sementara itu, Encik Prabowo menjanjikan lebih banyak pekerjaan dengan mempunyai lebih banyak sumber asli negara diproses dan dikembangkan menjadi produk akhir di dalam negeri berbanding mengeksportnya ke negara-negara lain dalam bentuk mentah.

“Kami juga ingin meningkatkan sistem pendidikan kami dengan menubuhkan sekolah dan universiti terkemuka di setiap bandar dan kabupaten, jadi orang ramai tidak perlu pergi ke Jakarta untuk mendapatkan pendidikan yang baik” Encik Budiman Sujatmiko, penasihat pasukan kempen Encik Prabowo, memberitahu Mediacorp.


Bagi Encik Ganjar pula, beliau berjanji untuk menawarkan banyak program peningkatan kemahiran dan meningkatkan mutu sekolah vokasional supaya rakyat Indonesia boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di dalam dan di luar negara.

Related article image
(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)
“Program lain ialah seorang graduan universiti bagi setiap keluarga,” kata Encik Pangeran Siahaan, jurucakap pasukan kempen Encik Ganjar, kepada Mediacorp. "Dengan mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga pergi ke kolej, ia bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi dirinya sendiri sendiri tetapi juga keluarganya."

Ketiga-tiga calon juga telah menunjukkan bahawa terdapat peluang untuk golongan muda menyertai landskap politik Indonesia dengan melantik lebih ramai belia dalam kabinet.

Buat masa ini, hanya terdapat dua anggota kabinet yang berumur bawah 40 tahun: timbalan menteri belia dan sukan Diro Ariotedjo, 33, dan timbalan menteri pelancongan Angela Tanoesoedibjo, 36 tahun.

MEDIA SOSIAL PENTING

Menurut tinjauan CSIS, 59 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka mendapat maklumat mereka terutamanya daripada media sosial. Hanya 32 peratus berkata sumber maklumat utama mereka ialah televisyen. Laman web berita dan akhbar merupakan sumber maklumat pilihan masing-masing untuk 6.3 peratus dan 1 peratus daripada responden yang ditinjau.

Itulah sebabnya ketiga-tiga calon dan timbalan masing-masing aktif berkongsi aktiviti mereka di media sosial, walaupun sebelum musim kempen bermula pada November lalu.

Encik Anies juga telah menyiarkan di acaranya Desak Anies (Cabaran Anies) di YouTube di mana beliau menyentuh tentang pelbagai isu seperti hak buruh atau jagaan kesihatan dengan belia di bandar-bandar yang berbeza di Indonesia.

Mantan gabenor Jakarta itu juga telah mengadakan sesi TikTok secara langsung di mana para penonton boleh bertanya kepadanya tentang apa sahaja.
Related article image
(Gambar: CNA/Nivell Rayda)
Encik Prabowo telah mengukuhkan persona onlinenya dengan menggunakan karya seni yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI), sekali gus mengubah imej mantan jeneral tentera berusia 72 tahun itu, yang terkenal dengan ucapan berapi-api dan pelbagai dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang dilemparkan terhadapnya, menjadi seorang datuk yang disayangi.

Pasukan kempennya juga telah bekerjasama dengan selebriti YouTube dan pempengaruh media sosial, memberikan mereka lebih banyak akses kepada Encik Prabowo dan Encik Gibran berbanding wartawan daripada media arus perdana.

Encik Ganjar pula menggunakan media sosial untuk menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berkongsi bukan sahaja gambar beliau semasa perhimpunan besar tetapi juga melawat kawasan-kawasan terpencil untuk bertemu rakyat biasa.

Beliau juga menunjukkan kepada enam juta pengikutnya apa yang gemar dilakukannya pada masa lapang dan banyak hobi dan minatnya termasuk menunggang motosikal dan berlari maraton.

Penganalisis media sosial, Encik Ismail Fahmi berkata strategi yang digunakan oleh Encik Anies dan Encik Ganjar mungkin lebih mendapat perhatian pengundi muda.


FAKTOR LAIN TURUT MEMAINKAN PERANAN

Media sosial sahaja tidak mencukupi, kata Hendri Satrio, seorang penganalisis politik dari Universiti Paramadina Jakarta.

“Media sosial hanya membantu meningkatkan populariti seseorang calon dan menarik minat orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut (mengenai calon tersebut). Tetapi adakah mereka benar-benar akan mengundi seseorang kerana mereka suka kempen media sosialnya? Saya tidak fikir begitu,” katanya kepada Mediacorp.
Encik Adrian Putra, seorang akauntan berusia 27 tahun yang menetap di Jakarta, menyuarakan sentimen serupa.

“Saya akan melihat kepada personaliti dan rekod calon. Bagi saya, itu lebih penting. Sesiapa sahaja boleh membuat program dan manifesto yang cemerlang, tetapi bolehkah mereka menyampaikannya?” katanya kepada Mediacorp.

Bobby berkata dia juga sedang berbincang tentang pilihannya bersama rakan-rakan dan keluarganya, sambil menyaksikan debat calon presiden dengan teliti.

Penuntut itu berkata dia tidak terpengaruh dengan apa yang dikatakan oleh pempengaruh di media sosial kerana seesetengah daripada mereka mungkin tidak berkecuali.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita