Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengundi muda, faktor Sabah & Sarawak penentu utama PRU15, bukan undi Melayu, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Pengundi muda, faktor Sabah & Sarawak penentu utama PRU15, bukan undi Melayu, kata penganalisis

Gambar: Facebook/Barisan Nasional/Pakatan Harapan/Mukhriz Mahathir/Perikatan Nasional

BERITAmediacorp: Dengan jumlah tinggi rakyat Malaysia yang keluar mengundi, siapakah yang akan menjadi faktor penentu ataupun 'kingmaker' bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini?

Dengan adanya lebih banyak pilihan parti, pelbagai manifesto yang berbeza serta para pengundi yang lebih celik politik, penyelidik eksekutif unit Demokrasi & Tadbir Urus IDEAS, Halmie Azrie Abdul Halim berpendapat agak sukar untuk mana-mana perikatan memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

GOLONGAN PENGUNDI ANAK MUDA

Pelaksanaan UNDI18 menyaksikan lonjakan besar pada jumlah keseluruhan pengundi dengan merangkumi hampir 2 juta pengundi.

"Faktor yang menentukan keberhasilan pilihan raya kali ini sudah pasti adalah faktor penentu yang dibawa oleh undi anak muda," kata Encik Halmie.

Ini terutama sekali dengan rancaknya kempen digital kali ini yang menjadikan medan persaingan politik Malaysia lebih agresif.

"Rata-ratanya daripada mereka juga belum ada ketetapan dan mereka boleh dianggap sebagai pengundi atas pagar," jelas Encik Halmie.

Di samping faktor undi anak muda, terdapat juga lagi 5 juta pengundi baru yang didaftarkan secara automatik dan jika bilangan ini dicampurkan dengan bilangan anak muda yang layak mengundi, maka terdapat peningkatan hampir 50% pada jumlah pengundi bagi pilihan raya kali ini berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

FAKTOR SABAH & SARAWAK

Bagaimanapun, menurut Encik Halmie, faktor Sabah dan Sarawak memainkan peranan dalam proses pembentukan kerajaan selepas hari mengundi.
(Gambar: Facebook/Shafie Apdal)
Menurutnya, mana-mana kerajaan di bahagian Semenanjung Malaysia perlu bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, setiap manifesto parti politik mengandungi bab berkenaan hak ataupun Perjanjian Malaysia 1963 dan ini menunjukkan bagaimana ia merupakan faktor penting dalam perbincangan ramai pihak di Sabah dan Sarawak.

Ini menjadikannya 'kingmaker' utama selepas hari mengundi.

Faktor undi Melayu pula menurut Encik Halmie, tidak akan menjadi penentu keputusan pilihan raya kali ini dengan peratusan besar pengundi anak muda.

APAKAH YANG AKAN BERLAKU SELANJUTNYA?

"Kita akan menyaksikan dalam beberapa hari yang berikutnya iaitu pada hari Ahad, Isnin, Selasa dan selanjutnya akan berlaku pelbagai perbincangan di belakang tabir di antara pemimpin parti-parti politik dan ini akan menyebabkan suatu kompromi berlaku di antara mereka," ujar Encik Halmie apabila ditanya apa yang boleh dijangkakan.

Encik Halmie yakin bahawa tidak ada satu-satu perikatan ataupun gabungan yang mampu memperolehi majoriti mudah ataupun 111 kerusi Parlimen.

Menurutnya lagi, dengan undi yang berpecah, antara perkara yang boleh berlaku adalah sebuah memorandum persefahaman antara blok-blok politik terbesar Malaysia.

PENENTU TERAKHIR

"Penentu yang terakhir sudah pasti adalah pihak Istana dan juga sesiapa pemimpin yang memenuhi kehendak ataupun berjaya memujuk parti-parti politik Sabah dan Sarawak," jelas Encik Halmie.

Pemimpin politik utama harus cuba untuk memujuk parti-parti politik Sabah dan Sarawak untuk bergabung dengan mereka dalam kerajaan yang boleh dianggap sebagai "kerajaan campuran" bagi mengelakkan situasi parlimen tergantung ataupun 'hung parliament'.

Situasi parlimen tergantung ini, menurut Encik Halmie, boleh berlanjutan sehingga terdapat kompromi yang dicapai antara kesemua pemimpin parti.

Kesimpulannya, para pemimpin perlu cuba bekerjasama dengan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan akhirnya "mendapat restu daripada pihak Istana" untuk mengelakkan parlimen tergantung.
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan