Skip to main content

Dunia

Pengumuman fasa kedua gencatan senjata Gaza 'langkah simbolik', kata Netanyahu

Anggaran Waktu Membaca:
Pengumuman fasa kedua gencatan senjata Gaza 'langkah simbolik', kata Netanyahu
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. (Gambar: REUTERS/Nathan Howard)
Diterbitkan : 16 Jan 2026 07:27AM Dikemas Kini : 16 Jan 2026 07:28AM
CARIKAN GAZA: Serangan Israel ke atas bahagian tengah Gaza pada Khamis (15 Jan) mengorbankan sembilan orang, termasuk tiga wanita, sehari selepas Amerika Syarikat mengumumkan bahawa perjanjian gencatan senjata yang rapuh akan melangkah ke fasa kedua.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan pengumuman gencatan senjata itu sebahagian besarnya setakat 'langkah simbolik', sekali gus menimbulkan persoalan tentang bagaimana elemen-elemen yang lebih mencabar akan dilaksanakan kelak.

Bercakap dengan ibu bapa tebusan terakhir Israel yang mayatnya masih berada di Gaza, Encik Netanyahu pada lewat Rabu (14 Jan) berkata bahawa jawatankuasa tadbir urus rakyat Palestin yang diumumkan sebagai sebahagian daripada fasa kedua hanyalah satu "langkah deklaratif," dan bukannya tanda kemajuan seperti yang digambarkan oleh Utusan Amerika Syarikat, Steve Witkoff.

Ibu bapa kepada pegawai polis Israel, Ran Gvili, sebelum ini telah mendesak Encik Netanyahu agar tidak meneruskan gencatan senjata sehingga mayat anak mereka dipulangkan, menurut Forum Keluarga Tebusan dan Warga Hilang Israel pada Rabu. Encik Netanyahu memberitahu ibu bapa Gvili bahawa penyerahan mayat anak mereka tetap menjadi keutamaan.

Pengumuman fasa kedua gencatan senjata menandakan satu langkah besar ke hadapan tetapi mengundang banyak persoalan yang belum terjawab. Ini termasuk bentuk jawatankuasa pakar Palestin yang dicadangkan bersifat tidak memihak parti politik dan sebuah "Lembaga Keamanan" antarabangsa.

Pembentukan jawatankuasa tersebut telah diselaraskan dengan Israel, menurut seorang pegawai Israel yang enggan mendedahkan identitinya. Persoalan lain juga termasuk masa penempatan pasukan pengaman antarabangsa dan pembukaan semula Lintasan Rafah di selatan Gaza, serta butiran jelas mengenai pelucutan senjata Hamas dan pembinaan semula Gaza.

Dalam satu temu bual pada Rabu dengan Radio Basma yang berpangkalan di Tebing Barat, Ali Shaath, jurutera dan mantan pegawai Penguasa Palestin yang dijangka akan menerajui jawatankuasa itu, berkata beliau menjangkakan pembinaan semula dan pemulihan akan mengambil masa kira-kira tiga tahun. Beliau berkata ia akan bermula dengan keperluan segera seperti tempat perlindungan.

"Jika saya membawa jentolak, dan menolak serpihan runtuhan ke dalam laut, dan membina pulau-pulau baharu, tanah baharu, ia adalah satu kemenangan bagi Gaza dan (kita) dapat menghapuskan runtuhan tersebut," kata Encik Ali, anak watan Gaza.

KEMAJUAN DIUMUMKAN TAPI PENDERITAAN BERTERUSAN

Rakyat Palestin di Gaza yang bercakap dengan Associated Press mempersoalkan apa sebenarnya yang akan berubah di lapangan dengan pelaksanaan fasa kedua, sambil merujuk kepada pertumpahan darah berterusan dan cabaran untuk mendapatkan keperluan asas.

Lebih 450 orang terbunuh sejak Israel dan Hamas bersetuju untuk menghentikan pertempuran pada Oktober tahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis (15 Jan).

Sembilan orang terbunuh pada Khamis dalam tiga serangan, menurut hospital tempatan. Serangan pertama membunuh dua lelaki, manakala tiga wanita dan seorang lelaki terbunuh dalam serangan kedua, menurut Hospital Syuhada Al-Aqsa. Kemudian, tiga orang terbunuh dan lima cedera apabila serangan Israel menyasarkan sebuah rumah, mengikut laporan Hospital Al-Awda di Nuseirat. Pegawai tentera Israel tidak segera menjawab mesej untuk mengulas mengenai serangan tersebut.

Secara berasingan, tentera Israel berkata mereka membunuh seorang individu pada Khamis yang mendekati tentera berhampiran garisan yang dipanggil "Yellow Line" - yang memisahkan bahagian Gaza yang dikuasai Israel daripada kawasan lain - dan dianggap sebagai satu ancaman.

"Kami melihat di lapangan bahawa perang tidak berhenti, pertumpahan darah tidak berhenti, dan penderitaan kami di dalam khemah tidak berakhir," kata Samed Abu Rawagh, seorang lelaki yang melarikan diri dari Jabaliya ke selatan Gaza.

Angka korban sejak gencatan senjata pada Oktober, yang menurut UNICEF termasuk lebih 100 kanak-kanak, adalah sebahagian daripada 71,441 rakyat Palestin yang terbunuh sejak permulaan serangan Israel, menurut kementerian tersebut, yang tidak menyatakan berapa ramai yang merupakan anggota Hamas atau orang awam.

Kementerian itu adalah sebahagian daripada pemerintah yang dikendalikan oleh Hamas dan dianggotai oleh karyawan perubatan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pakar bebas menganggapnya sebagai sumber yang paling diyakini mengenai mangsa perang. Israel mempertikaikan angka tersebut tetapi tidak memberikan angka mereka sendiri.

Hamza Abu Shahab, seorang lelaki dari timur Khan Younis di selatan Gaza, berkata beliau menunggu perubahan ketara, seperti akses yang lebih mudah kepada makanan, bahan api dan penjagaan kesihatan dan perubatan, berbanding sekadar janji-janji kosong.

"Kami gembira dengan berita ini, tetapi kami memohon kepada Tuhan agar ia bukan sekadar kata-kata kosong," katanya kepada AP di Khan Younis. "Kami mendambakan berita ini menjadi satu kenyataan kerana dalam fasa kedua kami akan dapat pulang ke rumah dan kawasan kediaman kami... Insya-Allah, ia tidak akan menjadi janji kosong sahaja."

Penduduk Gaza yang berjumlah lebih 2 juta orang bergelut untuk mengharungi cuaca sejuk dan ribut sambil berdepan kekangan bantuan kemanusiaan serta ketiadaan perumahan sementara yang lebih kukuh, yang sangat diperlukan semasa bulan-bulan musim sejuk.

Ini adalah musim sejuk ketiga sejak perang antara Israel dan Hamas bermula pada 7 Oktober 2023, apabila Hamas menyerbu selatan Israel dan membunuh sekitar 1,200 orang dan menculik 251 yang lain.

CABARAN HARI MUKA

Fasa kedua gencatan senjata akan berdepan isu-isu yang lebih rumit berbanding fasa pertama, termasuk melucutkan senjata Hamas dan beralih kepada struktur tadbir urus baharu selepas hampir dua dekad kumpulan itu mentadbir wilayah tersebut.

PBB menganggarkan pembinaan semula akan menelan belanja lebih AS$50 bilion (S$64.4 bilion). Proses ini dijangka mengambil masa bertahun-tahun dan setakat ini hanya sedikit dana yang dijanjikan.

Hamas menyatakan ia akan membubarkan pemerintah sedia ada untuk memberi laluan kepada jawatankuasa yang diumumkan sebagai sebahagian daripada fasa kedua gencatan senjata. Namun, ia tidak menjelaskan apa yang akan berlaku pada sayap tenteranya atau kakitangan awam dan polis yang bergabung dengan Hamas.

Bassem Naim, ahli biro politik kumpulan itu, berkata pada Khamis bahawa Hamas menyambut baik pengumuman jawatankuasa tersebut sebagai langkah ke arah menubuhkan negara Palestin yang merdeka, tetapi tidak mengulas lanjut mengenai isu-isu yang dipersoalkan. Beliau berkata di platform X bahawa "keputusan kini di tangan" Amerika Syarikat dan perantara antarabangsa untuk membolehkan ia beroperasi.

Israel menegaskan Hamas mesti melucutkan senjata, manakala pemimpin kumpulan itu menolak gesaan untuk menyerah kalah walaupun selepas dua tahun berperang, dengan menyatakan rakyat Palestin mempunyai "hak untuk menentangnya".
Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita