Skip to main content

Dunia

Pengukuhan penyelarasan penting bagi keberkesanan respons kemanusiaan ketika bencana

Penyelarasan yang lebih kukuh antara negara, agensi kemanusiaan dan pihak berkepentingan amat penting untuk memastikan respons lebih pantas dan berkesan apabila bencana berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengukuhan penyelarasan penting bagi keberkesanan respons kemanusiaan ketika bencana

Ketua Pejabat Serantau Asia dan Pasifik, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR), Marco Tiscano Rivalta. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 11:16PM
  • Di Nanning, Bengkel ARF ketiga dari 17 hingga 21 September menekankan penyelarasan lebih kukuh bagi respons bencana yang cepat dan berkesan.
  • Marco Tiscano Rivalta dari UNDRR berkata kesiapsiagaan perlu disokong pengetahuan risiko, sistem amaran awal, komunikasi dan tindakan awal berasaskan keperluan masyarakat.
  • Zhao Bing dari WFP China menegaskan latihan bersama, simulasi dan peningkatan kapasiti membantu menggerakkan sumber tepat masa serta mengelakkan pertindihan tugas.
  • Mohd Khairi Abd Ghani dari NADMA berkata misi rentas sempadan memerlukan akses diplomatik, logistik, pergerakan pasukan dan integrasi dengan sistem tempatan.
Dijana oleh AI
NANNING: Penyelarasan yang lebih kukuh antara negara, agensi kemanusiaan dan pihak berkepentingan amat penting untuk memastikan respons lebih pantas dan berkesan apabila bencana berlaku.

Ketua Pejabat Serantau Asia dan Pasifik, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR), Marco Tiscano Rivalta, berkata kepantasan tindak balas turut bergantung pada keberkesanan kesiapsiagaan serta keupayaan kerjasama pelbagai pihak berdasarkan pemahaman bersama berhubung risiko bencana.

“Kepelbagaian organisasi dan institusi yang terlibat ketika bencana berlaku menunjukkan pentingnya kesiapsiagaan,” kata beliau dalam ucapan pada seminar mengenai penyelarasan respons kemanusiaan antarabangsa bersempena dengan Bengkel Forum Serantau ASEAN (ARF) kali ketiga mengenai mencari dan menyelamat kecemasan bandar di Nanning, pada Sabtu (19 Sep).

Encik Marco berkata kesiapsiagaan merangkumi pengurangan risiko bencana melalui pengukuhan pengetahuan, sistem amaran awal dan komunikasi kerana langkah itu dapat memperkukuh keberkesanan operasi kemanusiaan.

Beliau berkata maklumat berhubung risiko yang diperoleh melalui penyelidikan, institusi saintifik dan sistem pemodelan perlu diterjemahkan kepada langkah praktikal dan boleh dilaksanakan, manakala sistem amaran awal perlu merangkumi keseluruhan proses, berorientasikan keperluan masyarakat serta disusuli dengan tindakan awal.

Sementara itu, Pengarah dan Wakil Program Makanan Sedunia (WFP) China, Zhao Bing berkata penyelarasan amat penting, khususnya ketika krisis kerana sesuatu kejadian boleh berlaku dengan pantas dan sumber perlu digerakkan serta dihantar tepat pada masanya.

Encik Zhao berkata penyelarasan yang berkesan juga dapat mengelakkan pertindihan tugas atau berulang antara pelbagai pihak, khususnya apabila sumber bukan menjadi kekangan utama.

“Latihan bersama, simulasi dan aktiviti peningkatan kapasiti yang melibatkan pelbagai negara dan organisasi dapat membantu memperkukuh kerjasama praktikal serta perkongsian,” kata beliau.

Daripada perspektif Malaysia, Pengarah Logistik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohd Khairi Abd Ghani berkata keupayaan teknikal dapat menyelamatkan nyawa, namun kerjasama, akses dan logistik yang berkesan amat penting bagi memastikan keupayaan itu dapat digunakan merentasi sempadan.

“Misi menyelamat antarabangsa memerlukan pelbagai elemen, bermula daripada permintaan bantuan dan akses diplomatik sehingga pergerakan anggota dan peralatan, selain sokongan operasi di lapangan,” kata beliau.

Encik Mohd Khairi berkata pengalaman Malaysia dalam misi menyelamat antarabangsa menunjukkan penyelarasan antara agensi pemerintah, misi diplomatik, negara tuan rumah dan rakan serantau amat penting untuk memastikan pasukan dapat digerakkan dan diintegrasikan secara berkesan dengan sistem tindak balas tempatan.

Seminar itu menampilkan 17 penceramah yang berkongsi pandangan mengenai rangka kerja global dan serantau, termasuk wakil Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA), Kumpulan Penasihat Antarabangsa Operasi Mencari dan Menyelamat (INSARAG), NADMA, Mongolia, Singapura dan Thailand.

Bengkel anjuran oleh China, Laos, dan Malaysia dari 17 hingga 21 September itu menghimpunkan lebih 400 peserta, termasuk pegawai kanan dari 27 negara peserta ARF serta wakil organisasi antarabangsa, pakar dan pengamal dalam bidang berkenaan.

Bengkel ARF kali ketiga mengenai mencari dan menyelamat kecemasan bandar itu bertemakan “Artificial Intelligence Empowering Urban Emergency Rescue” (Kecerdasan Buatan Memperkasa Operasi Menyelamat Kecemasan di Kawasan Bandar).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita