"Penguin comel dan dagingnya halal dimakan": bekas Menteri Hal Ehwal Agama M'sia

(Gambar: Daniel Feldman/AFP)
KUALA LUMPUR: Daging penguin halal dimakan oleh umat Islam kerana binatang itu termasuk dalam kategori burung air, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamed Al-Bakri.
Penguin juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan, sebagaimana dilarang oleh Nabi Muhammad SAW, menurutnya lagi, lapor Astro AWANI.
"Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.
"Comel dan halal. Namun ada sebahagian spesis penguin, seperti emperor penguin, sedang terancam. Bersama kita lindunginya," jelas Zulkifli menerusi artikel soal jawab agama di saluran portal, Maktabah Al-Bakri, yang dikongsi di akaun Facebooknya pada Selasa (25 Jan).
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pada asasnya, ulama mazhab Syafie berpendapat, semua jenis burung air halal untuk dimakan kecuali burung bangau kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya, seperti dipetik Astro AWANI.
Katanya lagi, Imam al-Ghazali menyebut bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram.
Menurut blog ReadHeadline, terdapat 18 jenis penguin yang dikenal pasti di dunia dengan 13 jenis disahkan semakin pupus dan lima daripadanya disenaikan sebagai haiwan terancam tahap kritikal.
Walaupun penguin adalah daripada keluarga burung, namun haiwan ini tidak boleh terbang, sebaliknya, mempunyai kemahiran berenang selaju 20 batu sejam.
Burung penguin dikenali sebagai burung paling pantas berenang dan menyelam paling dalam di dasar lautan, menurut Astro AWANI lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.