Penguasa penerbangan Eropah siasat pesawat kargo DHL terhempas di Lithuania
Sebuah pesawat kargo DHL terhempas ketika ia mendarat di Lapangan Terbang Vilnius di Lithuania pada pagi Isnin (25 Nov), mengorbankan seorang individu dalam apa yang Menteri Luar Jerman menyifatkan sebagai kemalangan atau serangan hibrid dalam "masa yang tidak menentu".
Tiga orang lain dalam pesawat tersebut cedera, dan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dalam keadaan tenat. Kepulan asap menyelubungi pesawat yang musnah itu sedang pasukan bomba berusaha untuk memadamkan kebakaran.
Para pegawai Lithuania berkata tiada tanda sabotaj setakat ini, meskipun Jerman sedang menyiasat beberapa kebakaran yang disebabkan oleh peranti yang disembunyikan di dalam bungkusan di sebuah gudang di Leipzig untuk penghantaran melalui DHL awal tahun ini. Pihak berkuasa Jerman juga sedang menyiasat nahas pada Isnin lalu.
Negara-negara Eropah sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai kelemahan infrastruktur awam, kebimbangan yang turut timbul selepas terputusnya dua kabel gentian optik yang tidak dapat dijelaskan di Laut Baltik minggu lalu.
"Hakikatnya, kami bersama rakan kongsi Lithuania dan Sepanyol, kini mesti bertanya dengan serius kepada diri sendiri sama ada ini adalah kemalangan atau, selepas minggu lalu, satu lagi insiden hibrid yang menunjukkan masa tidak menentu pada kehidupan kita, walaupun di tengah-tengah Eropah, " kata Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock.
"Pihak berkuasa Jerman bekerja rapat dengan pihak berkuasa Lithuania untuk menghuraikan masalah ini," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.